25
Rab, Nov

Musa Harap Bantuan TPM Dalam Memperkukuhkan Keselamatan Sabah

Sabah
Typography

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk membantu kerajaan negeri bagi memperkukuhkan lagi keselamatan negeri ini.

Musa berkata Ahmad Zahid selaku Menteri Dalam Negeri diharap akan dapat membantu seterusnya mengambil perhatian terhadap isu keselamatan di negeri ini memandangkan ia adalah agenda yang cukup penting dan dekat di hati rakyat Sabah.

Musa beri keyakinan bahawa Sabah tidak akan goyah dan akan terus bersama menjadi benteng pertahanan Barisan Nasional.

"Saya mewakili rakyat Sabah, pada hari ini , menzahirkan harapan cukup tinggi kepada Yang Amat Berhormat (Ahmad Zahid) selaku Menteri Dala Negeri yang kini diberikan kekuatan sebagai Timbalan Perdana Menteri agar membantu kami dalam memperkukuh keselamatan negeri Sabah,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Raya Aidilfitri bersama Ahmad Zahid di sini, pada Jumaat lepas.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruakm Yang DiPertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia serta menteri Kabinet Persekutuan dan Negeri.

Musa turut mengulangi ikrar dan komitmen kerajaan negeri untuk sentiasa berdiri teguh dan memberi sokongan pad kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahmad Zahid.

"Kami yakin dan percaya gandingan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri merupakan gabungan mantap dan kuat,"katanya.

Musa menegaskan Sabah tidak akan goyah dan akan terus bersama menjadi benteng mempertahankan kepimpinan dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

"Inilah pendirian kami dari awal, inilah iltizam saya, inilah tekad dan komitmen semua kepimpinan UMNO dan BN Sabah,"katanya.

Mengalu-alukan kehadiran Ahmad Zahid, Musa berkata ini merupakan lawatan rasmi pertama Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri ke Sabah.

"Kami yakin dan percaya pelantikan ini adalah pengiktirafan terhadap ketokohan, kewibawaan dan pengalaman luas Yang Amat Berhormat (Ahmad Zahid) dalam politik serta pentadbiran selaku pemimpin kanan parti dan kerajaan,"katanya.

Pelantikan bersandarkan keyainan dan kepercayaan Perdana Menteri itu merupakan kesinambungan terhadap keyakinan juga tanggungjawab besar diberikan rakyat kepada UMNO dan BN, katanya.

Sumber - Bernama