08
Rab, Apr

Ketua Adat Disaran Jangan Percaya Maklumat Dimuat Dalam Facebook

Sabah
Typography

KOTA KINABALU: Semua ketua adat di negeri ini dinasihatkan supaya tidak terus mempercayai maklumat yang dimuatkan dalam facebook, media sosial dan internet sebaliknya dapatkan dulu kesahihannya.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata bermacam maklumat yang dimuatkan sehingga menggangu gugat pemikiran dan perpaduan rakyat berbilang kaum dalam kalangan anak negeri.

"Sekarang ini, tentu sekali kita juga menghadapi pelbagai cabaran. Cabaran daripada media sosial, fitnah dan sebagainya yang dilapor atau dimuatkan dalam media sosial semakin menjadi-jadi.

"Kalau kita beremosi kita juga boleh berpengaruh, sekarang bermacam-macam bukan saja dalam hal-hal yang bersangkutan dengan perkemabngan semasa, adat istiadat tetapi juga meliputi pentadbiran dan juga politik kepimpinan negara.

"Justeru, saya minta pegawai-pegawai kita khususnya ahli-ahli mahkamah, ketua-ketua kampung supaya jangan terus mempercayai maklumat yang dimuatkan dalam facebook, media sosial dan sebagainya,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) dan Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JEHANS) di Dewan Podium Tingkat 2, Wisma Tun Fuad Stephens, dekat sini, pada Rabu.

Hadir sama Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Zakaria Idris, Presiden MHEANS, Mohamad Alamin, dan Pengarah JEHANS, Datuk Ahmad Shah Talip.

Maklumat dalam internet perlu disahihkan terlebih dahulu

Hajiji berkata ketika ini fitnah mengambil tempat di media sosial dalam negara terutama isu 1MDB dan isu wang yang masuk dalam akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden UMNO.

"Fitnah dibuat oleh pembangkang terutamanya atau mereka yang ingin melihat kerajaan Pimpinan Datuk Seri Najib jatuh. Jadi ini, bagi kita adalah sesuatu yang tidak sepatutnya berlaku, tuduhan-tuduhan tanpa fakta-fakta atau pun bukti-bukti yang nyata.

"Fitnah terkini yang dibuat oleh pihak yang tidak bertanggugjawab kononnya Perdana Menteri tidak dibenarkan mendarat di Johor oleh Sultan Johor ini satu fitnah, sedangkan beliau mempunyai acara di Singapura, dia mendarat di Singapura. Lapangan terbang adalah kuasa kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangkutan.

"Begitu juga isu wang yang masuk ke dalam akaun beliau (Perdana Menteri), sebenarnya wang itu disumbangkan oleh orang luar dari Arab Saudi tujuan untuk membantu rakyat tetapi pembangkang menghentam Perdana Menteri seolah-olah mereka bersih. Walhal dalam sesi Program Tranformasi Ekonomi (ETP) semua parti politik di Malaysia diminta atas cadangan SPRM supaya mengisytiharkan aset mereka mahupun sumbangan dari luar yang menentang ialah DAP dan PKR,"katanya.

Beliau berkata pembangkang membuat bermacam fitnah seolah-olah Perdana Menteri menyalahgunakan kuasa.

"Saya terangkan di sini, jangan percaya 100 peratus dalam media sosial terutama daripada mereka yang tidak bertanggungjawab. Ini yang berlaku, bermacam-macam cara untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi,"katanya.

Sumber: New Sabah Times