25
Rab, Nov

Salleh : Ada Pihak Luar Mahu Melihat Malaysia Kacau-Bilau

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak mengingatkan seluruh rakyat supaya lebih berhati-hati dan bijak menilai sebarang maklumat terutama yang disebarkan melalui media sosial agar tidak terperangkap dengan agenda pihak luar yang mahu mewujudkan suasana kacau-bilau di negara ini.

Salleh berkata kebelakangan ini ada pihak luar sengaja menggunakan media sosial dan portal berita untuk menyebarkan maklumat tidak tepat dan berita berunsur fitnah kepada kepimpinan negara bagi menimbulkan kebencian serta keraguan rakyat terhadap kerajaan dan pemimpin di negara ini.

"Sebenarnya (pihak luar) bukan marah kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak). Mereka marahkan Malaysia. Mereka tidak mahu Malaysia ini stabil. Mereka mahu Malaysia ini huru-hara. Mereka sudah lakukan di beberapa negara. Jadi kita sebagai rakyat Malaysia, kita mesti memastikan negara kita dalam keadaan selamat.

"Walaupun kita marah, walaupun kita ada perbezaan (pendapat), namun (hakikatnya) sudah tentu kita mahu negara kita selamat. Apabila sampai masanya pilihan raya diadakan, itu hak kita untuk menilai. Tetapi jangan mendengar satu pihak sahaja. Kita dengar semua pendapat.

"Kita perlu hormati antara satu dengan yang lain. Itu sebenarnya pendekatan kita. Kita ingin melihat Malaysia ini menjadi sebuah negara yang dihormati," katanya ketika berucap pada majlis Ramah Mesra Menteri Komunikasi dan Multimedia di Kompleks Bersepadu KKMM di sini hari ini.

Menurut Salleh isu-isu yang tersebar seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah dicetuskan pihak luar melalui portal berita mereka Sarawak Report bertujuan memburukkan imej pemimpin negara dengan harapan rakyat tidak puas hati dan akhirnya melakukan protes terhadap kerajaan melalui tunjuk perasaan dan demonstrasi.

Bagaimanapun Salleh berkata agenda buruk pihak berkenaan yang ingin menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik terserlah sedikit demi sedikit termasuklah dapatan bahawa kumpulan berkenaan menggunakan dokumen yang telah diubah bagi menyokong agenda jahat mereka.

Salleh juga mengingatkan rakyat bahawa perbezaan pendapat adalah perkara biasa namun mereka perlu berwaspada agar perbezaan pendapat itu tidak sampai hilang pertimbangan rasional sehingga sanggup mewujudkan suasana tidak stabil di negara ini termasuk ingin menjatuhkan kerajaan secara kekerasan.

Katanya perlembagaan di negara ini sudah menetapkan bahawa setiap lima tahun akan diadakan pilihan raya dan pada ketika itu rakyat bebas menunaikan hak mereka sebagai pengundi untuk menentukan kerajaan yang mereka mahukan dan inilah pilihan sebaik-baiknya bagi memastikan negara terus aman dan selamat.

"Yang penting kerajaan telah mengambil langkah, agar masalah ekonomi dapat diselesaikan. Tetapi ada pihak tidak mahu kita menyelesaikan masalah ekonomi kerana kepentingan mereka ialah untuk menjatuhkan pemimpin negara. Jadi mereka harap jika ada masalah ekonomi maka rakyat akan marah, tunjuk perasaan dan berdemonstrasi untuk menjatuhkan kerajaan.

"Kalau mereka ada dasar ekonomi, sila hidangkan kepada rakyat. Apabila sampai masanya, apabila pilihan raya diadakan, rakyat bebas untuk membuat keputusan," katanya.

Bagaimanapun Salleh mengingatkan rakyat supaya bijak menentukan masa depan mereka dalam memilih kerajaan kerana kerajaan yang diterajui Barisan Nasional (BN) hari ini, walaupun tidak sempurna namun telah membuktikan kewibawaannya dalam mewujudkan negara aman dan stabil serta maju dalam pelbagai sektor.

BERNAMA