25
Rab, Nov

Anggota Esscom Diajak Bekerja Satu Pasukan Untuk Pelihara Keselamatan Rakyat Sabah

Sabah
Typography

LAHAD DATU – Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Borhan Dolah mengajak anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bekerja sebagai satu pasukan bagi membantu menjayakan visi dan misi murni kerajaan memelihara keselamatan dan kesejahteraan rakyat di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE.

Ketika membuat gesaan itu, beliau berkata semua pihak termasuk ESSCOM perlu berganding bahu bagi memperbetulkan persepsi rakyat Sabah kononnya kerajaan persekutuan kurang serius dalam menangani pelbagai isu yang dihadapi oleh rakyat negeri ini terutama yang melibatkan soal keselamatan dan isu pendatang tanpa izin (PATI).

“Kita tidak boleh bekerja secara bersendirian, sebaliknya bekerja sebagai satu pasukan yang mantap dan berusaha untuk mengembalikan semula keyakinan rakyat Sabah bahawa kerajaan persekutuan begitu serius dan amat komited di dalam menyelesaikan apa jua isu-isu berbangkit yang dihadapi oleh rakyat negeri ini”.

“Sebab itu, kita perlu bersatu serta bertindak dengan cekap dan cepat dalam setiap perkara termasuk bersungguh-sungguh di dalam menyelesaikan beberapa perkara penting yang menjadi tumpuan dan perhatian ramai khususnya yang berkaitan dengan soal keselamatan dan isu PATI”,” katanya selepas melawat pos kawalan Tanjung Batu yang terletak berhampiran Tanduo, semalam.

Turut serta dalam lawatan itu ialah Komander ESSCOM DCP Dato’ Abd Rashid Harun, Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM Ruji Ubi dan pegawai-pegawai kanan ESSCOM.

Borhan berkata lawatannya ke ibu pejabat ESSCOM dan ESSZONE bertujuan menyelami dan seterusnya cuba menyelesai pelbagai perkara yang boleh membawa kebaikan kepada rakyat negeri ini secara keseluruhannya.

Beliau berkata ini merupakan antara amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada beliau sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah, termasuk memudahcara dan menyelaras pelbagai program pembangunan persekutuan yang boleh membantu ESSCOM menjalankan tugas dengan lebih berkesan di ESSZONE.

Borhan yang dalam rangka lawatan tiga hari ke ESSZONE turut melawat beberapa pos kawalan keselamatan di sekitar Lahad Datu dan Semporna.

ESSCOM yang ditubuhkan pada 1 April susulan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo dipertanggungjawab menyelaras operasi pelbagai agensi keselamatan dan pertahanantermasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di ESSZONE.

ESSZONE meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Tawau dan Semporna.

Esscom Times