03
Kha, Dis

MASwings Tawar Promosi Khas Merdeka

Sabah
Typography

KOTA KINABALU – Syarikat penerbangan MASwings menawarkan promosi khas sempena sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia untuk semua destinasi domestiknya bermula 20 Ogos hingga 6 September depan.

Ketua Pegawai Komersil MASwings Shauqi Ahmad berkata, promosi berkenaan melibatkan harga keseluruhan bagi penerbangan sehala untuk perjalanan bermula 22 Ogos hingga 18 September 2015.

Menurutnya, para pelanggan MASwings berpeluang menikmati tawaran harga istimewa serendah RM94.

“Penumpang dari Kota Kinabalu hanya perlu membayar sebanyak RM99 ke Labuan, RM105 ke Lahad Datu dan Sibu, serta RM107 dan RM127 masing-masing ke Tawau dan Sandakan.

“Manakala tawaran istimewa untuk ke destinasi lain dari Kota Kinabalu termasuklah RM110 ke Miri, RM144 ke Kuching, RM116 ke Mulu, dan RM124 ke Bintulu,” katanya pada siding media di sini kelmarin.

Beliau berkata, bagi penumpang yang memulakan perjalanan dari Kuching turut menikmati tawaran istimewa iaitu RM102 ke Sibu, RM124 ke Miri dan Bintulu, RM127 ke Mulu, serta RM144 ke Kota Kinabalu.

Shauqi berkata, tambang yang ditawarkan untuk perjalanan dari Miri ke beberapa destinasi seperti Bintulu, Mulu, Sibu dan Labuan ditawarkan pada kadar yang sama iaitu RM94 dan RM105 ke Limbang.

Menurutnya, penumpang dari Sandakan ke Tawau serta dari Bintulu ke Sibu hanya perlu membayar tambang serendah RM94.

“Pelanggan MASwings boleh melayari laman web www.maswings.com.my untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut mengenai promosi ini.

“MASwings juga menawarkan diskaun kira-kira 70 peratus untuk para pelanggan menikmati promosi istimewa ini.

“Tahun ini, kita yakin untuk mencapai sasaran seramai 1.6 juta penumpang memandangkan tahun lepas kita Berjaya mencapai seramai 1.56 juta penumpang,” jelasnya.

Beliau berkata, kapasiti penumpang MASwings setahun adalah seramai 2.3 juta dengan kekerapan perjalanan sebanyak 44,000 setahun.

Turut hadir, Pengurus Kawasan Sabah Bahagian Komersial dan Pengurusan Wilayah Chali Awang dan Pengawal Sokongan Komersial Bahagian Wilayah Mohd Hisham Hussain.

 

Utusan Borneo.