03
Kha, Dis

Borneonisasi : Permohonan Dua Bekas Penjawat Awam Diketepikan

Sabah
Typography

KOTA KINABALU – Mahkamah Persekutuan di sini kelmarin mengenepikan permohonan kebenaran daripada seorang bekas guru dan polis yang mencari beberapa deklarasi berkaitan dengan dasar Borneonisasi.

Hakim Mahkamah Malaya, Tan Sri Dato’ Zulkifli Ahmad Makinudin dan tiga Hakim Mahkamah Persekutuan tan Sri Suriyadi Haim Omar, Tan Sri Ahmad Maarop membuat keputusan itu terhadap plaintif bekas Polis Insp Bernard Fung Fon Chen, 73 dan bekas guru sandaran Mohd Nazib,38.

Manakala responden adalah Kerajaan Malaysia yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Blohassan dan Peguam Negeri Dayangku Pazidah Pg. Bagul dan Mohd Ikhwan Ramlan.

Peguam Ken Yong berkata, kedua-dua plaintif yang merupakan bekas penjawat awam menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia gagal melaksanakan peruntukan Perjanjian Malaysia 1963, khususnya mengenai Borneonisasi.

Antara lain yang diutarakan beliau adalah Artikel VIII Perjanjian Malaysia 1963 yang dibaca bersama Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962, iaitu mengenai isu Borneonisasi berkaitan Artikel Perkhidmatan Awam sama ada ianya adil.

“Ini merupakan kepentingan awam, yang mana dua individu ini mewakili penduduk asal Sabah,” katanya dan menambah, apa yang cuba disampaikan oleh kedua-dua perayu adalah asas Perjanjian Malaysia tidak dilaksanakan.

Namunmahkamah menyatakan, kedua-dua perayu meletak jawatan secara sukarela, namun Ken berkata permohonan itu dilakukan bukanlah untuk meminta sebarang kos atau ganti rugi daripada kedua-dua plaintif.

Mahkamah juga menjelaskan, permohonan berkenaan haruslah dibuat dengan cara membuat semakan kehakiman atau mendapat kebenaran daripada Peguam Negara.

Sementara itu, Shamsul berkata, permohonan berkenaan tidak mempunyai locus standi dan berkenaan dengan isu polisi ianya sudah selesai.

Katanya, walaupun mereka ingin mewakili penduduk Sabah, saluran yang betul adalah mereka harus memfailkan semakan kehakiman bagi permohonan berkenaan.

“Plaintif pertama meletak jawatan pada 1980 dan plaintif kedua pada 2005. Sekiranya perlu mengambil tindakan, seharusnya melalui semakan kehakiman,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua plaintif juga secara sukarela berhenti dalam perkhidmatan awam dan beliau memohon agar permohonan berkenaan diketepikan kerana tidak mempunyai merit.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi mengenepikan permohonan Kerajaan Persekutuan dan Negeri untuk membatalkan saman yang dibawa kedua-dua plaintif.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan yang difailkan oleh responden agar membatalkan saman berkenaan.

Bernard dan Mohd Nazib memohon, pengistiharan bahawa responden gagal dan mengabaikan nasihat Yang Di-Pertuan Agong mengikut Perkara 153(2) Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan rizab bagi anak negeri Sabah dalam jawatan perkhidmatan awam khususnya dalam Jabatan Persekutuan di negeri ini.

Selain itu, satu pengistiharan daripada mahkamah bahawa responden gagal menjalankan Borneonisasi perkhidmatan awam persekutuan di negeri ini.

Mereka juga memohon, pengistiharan bahawa defenden kedua telah gagal atau cuai untuk malaksanakan jaminan, akujanji dan syor-syor terkandung dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), 1962.

Ken turut dibantu oleh peguam Peter Marajin.

Turut hadir mendengar prosiding berkenaan kelmarin ialah Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee.

Utusan Borneo.