18
Isn, Jan

PDRM Pasang Sistem Solar Hidrid di Balai Polis Mabul, Semporna

Sabah
Typography

SEMPORNA: Dalam usaha merealisasikan amalan hijau dan aplikasi teknologi hijau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memasang sistem solar hybrid di Balai Polis Pulau Mabul yang dijangka mula beroperasi hujung bulan depan.

Pengarah Pengurusan PDRM Bukit Aman, Datuk Pahlawan Zulkifli Abdullah berkata pemasangan sistem solar hibrid itu adalah yang pertama dan merupakan satu lagi inisiatif hijau PDRM bertujuan mengurangkan kos bahan apai serta pelepasan gas karbon dioksida, khususnya di kawasan yang tidak mempunyai bekalan elektrik.

"Pemasangan solar hibrid yang mempunyai komponen iaitu jana kuasa solar panel dan bateri itu mula dilaksanakan pada 23 Ogos lepas dan projek itu dilaksanakan dengan kerjasama Telekom Malaysia Bhd dan PDRM.

"Balai Polis Pulau Mabul dipilih untuk pemasangan sistem solar kerana tiada bekalan elektrik dan hanya bergantung kepada jana kuasa yang menggunakan diesel yang menggunakan kos yang tinggi termasik kos penghantaran," katanya kepada Bernama selepas melawat sistem solar berkenaan, dekat sini pada Ahad.

Beliau berkata dengan adanya sistem solar hibrid, dijangka kos bahan api dapat dikurangkan kepada RM172,000 setahun berbanding sebelum ini yang memakan kos sehingga RM700,000 setahun.

Zulkifli yang juga Pengarah Jabatan Strategik dan Teknologi (START) PDRM berkata kajian pemasangan sistem solar hibrid itu telah di buat oleh Bahagian Analisis dan Pembangunan Teknologi (TECHAD) PDRM, START dengan kerjasama Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) di bawah Universiti Kebangsaaan Malaysia (UKM) dan TM.

"Sekiranya ia (system solar hibrid) berkesan dan memberi pulangan signifikan dari segi penjimatan kos bahan api dan pengeluran karbon dioksida, projek seperti ini akan diperluaskan ke balai dan pos kawalan yang terletak di kawasan pulau dan pedalaman yang tidak mempunyai bekalan elektrik,"katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata bagi mempertingkat kemudahan kepada anggota polis yang bertugas di kawasan pulau, kerajaan bersetuju mewujudkan kontrak baharu bagi pembekalan air bersih.

"Kami faham isu air bersih ini merupakan satu masalah utama yang dihadapi anggota polis yang bertugas di kawasan pulau-pulau dan kami berharap selepa ini masalah itu dapat diatasi," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kediaman di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang terjejas akibat gempa bumi pada 5 Jun lepas masih selamat digunakan dan tidak perlu dirobohkan.

"Kami telah menjalankan pemeriksaaan secara terperinci dan mendapati kediaman itu masih selamat digunakan dan hanya perlu dibai pulih bagi mengukuhkan semula bangunan berkenaan,"katanya.

Bernama.