17
Ahd, Jan

'Terowong Jepun" di Kunak Milik Sejarah Tersendiri

Sabah
Typography

KUNAK - Terowong bawah tanah di lading Mostyn Kunak kira-kira 13 kilometer dari pekan di sini memiliki nilai sejarah tersendiri yang mungkin belum terungkai sepenuhnya meskipun ada yang pernah berkunjung dan masuk ke dalam terowong itu yang lebih dikenali sebagai "terowong Jepun".

Bekas tempat persembunyian tentera Jepun semasa era penjajahan pada 1942, terowong bawah tanah itu ditemui sekitar tahaun 1960-an oleh pemburu di hutan sekitar sana selepas menemui runtuhan tanah di situ.

Bermula pada tahun 1960-an, terdapat pekerja ladang ketika Mostyn masih di bawah urus tadbir syarikat perladangan BAL Plantation yang giat mengusahakan tanaman baka ketika itu turut menjejaki terowong tersebut namun tidak berani untuk masuk lebih dalam disebabkan keadaan yang gelap dan udara yang kurang.

"Dengar khabar ketika itu terdapat pekerja estet yang kebetulan masuk ke dalam terowong itu dan menjumpai sudu dan garpu yang mempunyai tulisan seperti aksara bahasa Jepun. ada juga yang kononnya menjumpai serpihan senjata perang dipercayai bekas milik tentera Jepun,"kata Deris.

"Semua itu cerita orang lama yang pernah bekerja di estet BAL di sini,"ujar beliau.

Ketika ini, Mostyn ditadbir urus oleh Syarikat Sime Darby Plantation yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Baru-baru ini, cerita berkenaan penemuan jongkong emas yang kononnya ditemui oleh seseorang dari Terowong Jepun itu telah menjadi viral dalam media sosial WhatsApp dan Facebook di mana pihak Polis Kunak menjalankan pemeriksaan di kawasan terowong itu untuk mendapatkan petunjuk mengenai berita berkenaan.

Bagaimanapun Ketua Polis Daerah Kunak, Supt. Ab Rashid Abdullah melalui siaran media menafikan khabar angin itu yang kononnya cuba disebarkan oleh pihak tidak bertangggungjawab yang ingin menarik perhatian umum di laman sosial.

Sehari selepas itu sebuah akhbar harian berpusat di Semenanjung pula dalam laporannya turut menyebut bahawa gambar jongkong emas yang dimuat naik dalam internet itu ditemui oleh pencari harta Karun di luar negara. Ia adalah kemungkinan besar harta Karun peninggalan Jeneral Yamashita dan bukannya ditemui dari terowong Jepun di Mostyn, Kunak seperti yang disebarkan.

Bagaimanapun, cerita "penemuan jongkong emas" itu telah menyerlahkan kisah sejarah berkenaan Terowong Jepun di Kunak yang dilihat memiliki kisah unik yang sebelum ini agak "terasing" daripada pengetahuan ramai.

Terowong Jepun dipercayai terbentuk daripada aliran basalt gunung berapi zaman dahulu dan tidak jauh di sekitar lokasinya juga terdapat kolam air panas di Sungang estet bersempadan dengan lading Mostyn.

Pada 15 Mei 2010, Adun Kunak, Datuk Nilwan Kabang bersama peserta eksplorasi turut melakukan lawatan "Terowong Jepun" di Landang Mostyn itu selain meningau sebuah permis yang masih kelihatan di sini iaitu bangunan dipercayai pernah digunakan sebagai pejabat pentadbiran operasi tentera Jepun ketika era Perang Dunia Kedua.

Sementara itu, ramai dalam kalangan bekas penduduk Mostyn memberi cadangan agar Kementerian Pelancongan dan Muzium Sabah tampil untuk menarik perhatian bagi memulihara Khazanah sejarah yang masih ada di sini.

"Jika tempat seperti terowong jepun itu dapat dibangunkan menjadi lokasi pelancongan baharu di Kunak, tentunya ia mampu tarik kunjungan pelawat tempatan dan luar kerana sebelum ini ada pelancong yang ingin ke sana tetapi gagal untuk masuk kerana laluan ke tempat itu menggunakan jalan lading milik Sime Darby," kata Peter.

"Jika tempat pelancongan baharu diwujudkan, sudah tentu ekonomi peniaga tempatan di sini juga meningkat kerana sector pelancongan boleh merangsang ekonomi setempat. Jadi ini satu peluang positif yang sepatutnya tidak dipinggirkan,"kata Amin,42, seorang penduduk di sini.

Daily Ekspress