17
Ahd, Jan

Perhimpunan Bersih Salah Di Sisi Undang-Undang : Jalaluddin Rahman

Sabah
Typography

KOTA KINABALU - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyertai perhimpunan Bersih 4.0 di negeri ini kerana ia menyalahi undang-undang dan tidak memenuhi syarat notis di bawah Akta Perkhimpunan Aman 2013.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata sekiranya pihak penganjur meneruskan juga hasrat mereka untuk mengadakan perhimpunan berkenaan, pihak polis akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perkhimpunan Aman 2012, Seksyen 9(1) dan Seksyen 4(2) (C) akta yang sama.

Beliau berkata di bawah Seksyen 4 (2) (C) Akta Perhimpunan Aman 2012, protes jalanan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 jika sabit kesalahan manakala penganjur perhimpunan yang melanggar syarat di bawah Seksyen 9(1) akta yang sama boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000.

"Pihak penganjur telah menghantar notis pemberitahuan mengenai perhimpunan itu pada 19 Ogos bagi mengadakan perhimpunan, namun notis itu tidak dapat diproses disebabkan tidak memenuhi syarat kerana ia tidak disertakan dengan surat kebenaran untuk menggunakan premis daripada pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Jalaluddin berkata pihak polis telah memaklumkan kepada pihak penganjur mengenai kegagalan mereka untuk menyertakan syarat berkenaan Khamis lalu dan ia turut diakui oleh pihak penganjur.

Beliau berkata pihaknya dengan lebih 300 anggota sudah bersiap sedia bagi menghadapai sebarang kemungkinan sekiranya pihak penganjur mahu meneruskan niat mereka.

Bernama