19
Rab, Feb

MUHYIDDIN UMUM RM68 JUTA UNTUK PENDUDUK DI PADAWAN SARAWAK

Sarawak
Typography

KUCHING – Penduduk di Padawan mendapat berita gembira apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Haji Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan peruntukan berjumlah RM68 juta bagi pembinaan sekolah dan jalan raya.

“Bagi terus memajukan Sarawak khususnya di kawasan luar bandar, kerajaan bersetuju memperuntukan sebanyak RM8 juta bagi pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Padawan yang akan dimasukkan di dalam Rancangan Malaysia Ke-11 dan RM60 juta untuk penambahbaikkan Jalan Padawan.

Muhyiddin mengumumkannya dalam Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat bersempena dengan Lawatan Kerja Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke Teng Bekap, Padawan, petang tadi.

Majlis diadakan di Dewan Serbaguna Teng Bekap, Padawan yang dihadiri kira-kira 1,500 orang.

Timbalan Perdana Menteri juga turut meluahkan rasa simpati kepada mangsa-mangsa banjir yang dialami penduduk Sarawak baru-baru ini.

“Untuk itu, setiap keluarga mangsa banjir di Sarawak akan menerima sumbangan wang ihsan sebanyak RM500.

Sebanyak 322 keluarga yang terlibat dalam bencana banjir di daerah Padawan menerima wang ihsan RM500 daripada kerajaan hari ini.

Majlis turut dihadiri YB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu anak Numpang, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, YB Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg, Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, YB Datuk Roland Sagah Wee Inn, Timbalan Speaker DUN Sarawak merangkap ADUN N.17 Tarat dan YB Datuk Jerip Susil, Muda Kesihatan Awam Sarawak.