27
Sel, Okt

MUHYIDDIN YASSIN: PERPADUAN RAKYAT SARAWAK HARUS DIJADIKAN CONTOH TERBAIK DI MALAYSIA

Sarawak
Typography

KUCHING - Rakyat Malaysia boleh menjadikan rakyat Sarawak yang hidup dalam pelbagai kaum sebagai contoh terbaik dalam mengenali erti perpaduan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin kepelbagaian kaum di Sarawak yang terdiri daripada Melayu, Iban, Cina, Melanau, Bidayuh dan Orang Ulu tidak menghalang mereka ini hidup dalam keadaan harmoni dan aman damai.

"Rakyat Sarawak seharusnya berbangga kerana berjaya mengekalkan perpaduan antara kaum dan ini harus menjadi contoh kepada rakyat Malaysia yang lain, katanya dalam Majlis Perjumpaan Bersama Rakyat Bersempena dengan Lawatan Kerja ke Daerah Bau, tengah hari tadi.

Dalam usaha memastikan perpaduan sebegini terus terpelihara, kerajaan Barisan Naisonal tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum dalam menikmati apa jua yang dibuat oleh kerajaan untuk rakyat.

"Polisi ini telah lama diamalkan BN sejak dahulu lagi dan menjadi hasrat kerajaan BN memastikan setiap kaum di Malaysia ini menikmati pembangunan yang saksama, katanya dalam majlis yang dihadiri kira-kira 1,500 orang yang terdiri daripada ahli-ahli parti komponen BN dan rakyat kawasan kampung Melayu, Bidayuh dan Cina di daerah Bau.

Muhyiddin juga mengucapkan tanhiah kepada kerajaan Sarawak yang telah berjaya mewujudkan SCORE di mana ia telah menarik ramai para pelabur daripada luar negara.

"Ini merupakan suatu perkembangan yang menarik kerana sememangnya hasrat kerajaan mewujudkan koridor seperti SCORE ini bertujuan menarik ramai pelabur sekaligus meningkatkan ekonomi negara selain menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Di majlis itu juga, Muhyiddin menyampaikan bantuan wang ihsan kepada keluarga mangsa banjir yang berlaku di Sarawak baru-baru ini.

"Tidak ada mana-mana kerajaan di dunia ini yang menyalurkan bantuan sebegini kecuali Malaysia.

Kerajaan BN akan terus membantu rakyat dalam usaha meringankan beban khususnya dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir seperti wang bantuan khas bencana banjir dan bantuan membaik pulih, dan membina rumah yang telah rosak akibat banjir.

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan bin Haji Satem mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Pusat atas sumbangan wang ihsan kepada mangsa-mangsa banjir di Sarawak.

Turut hadir YB Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, YB Dato' Seri Dr. Shahidan Kassim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan YBhg Tan Sri Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi bin Abdul Ghani, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.