25
Ahd, Okt

ADENAN UMUM TAMBAHAN PERUNTUKAN KE ATAS SEKOLAH CINA DI SARAWAK

Sarawak
Typography

KUCHING – Kerajaan Negeri Sarawak tidak menolak kemungkinan akan menambah peruntukan tambahan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina pada tahun ini sebagai kemudahan untuk mempertingkatkan lagi pendidikan kaum Cina di Sarawak.

Ini disuarakan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem dalam rancangan khas Bersama Ketua Menteri Sarawak yang disiarkan secara langsung di RTM, malam tadi.

“Kita mengetahui bahawa kaum Cina sangat mementingkan pendidikan dan kemunculan sekolah vernakular Cina ini adalah bertujuan untuk meningkatkan pendidikan selain mengekalkan budaya Cina.

“Sehubungan itu, kita (Kerajaan Negeri Sarawak) mengiktiraf pendidikan sekolah Cina dengan memberikan peruntukan kepada sekolah ini sebanyak RM3 juta pada tahun lepas.

“Begitupun, peruntukan ini berkemungkinan akan ditambah pada tahun ini sebagai pengiktirafan Kerajaan Negeri Sarawak ke atas sumbangan masyarakat Cina ke atas negeri Sarawak selain memartabatkan pendidikan Cina”, sambil menerima tepukan gemuruh daripada hadirin yang hadir.

Jawapan itu adalah reaksi terhadap soalan yang dikemukakan oleh seorang penonton berketurunan Cina yang bertanyakan soalan mengenai polisi Ketua Menteri Sarawak terhadap orang Cina di Sarawak.

Menerusi keterangan itu, jelas bahawa polisi Adenan seperti mana yang dinyatakan beliau sejak mula mengambil alih jawatan Ketua Menteri Sarawak kira-kira 12 bulan lalu akan ditunaikan.

Kira-kira 300 orang hadirin hadir di Auditorium bagi menyaksikan sendiri bual bicara Bersama Ketua Menteri Sarawak di Auditorium P.Ramlee, RTM Sarawak.

Hadir sama di majlis itu beberapa menteri kabinet, ketua-ketua jabatan, bekas penerima pingat, ahli-ahli parti, pelajar-pelajar dan orang ramai. -KLXPress

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.