23
Jum, Okt

AZMIN ALI HARGAI SAMBUTAN KETUA MENTERI SARAWAK ATAS KUNJUNGAN RASMINYA

Sarawak
Typography

KUCHING – Menteri Besar Selangor Azmin Ali merangkap Timbalan Presiden PKR telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem di pejabatnya, Wisma Bapa Malaysia pagi tadi (semalam).

Beliau diiringi Nik Nazmi Nik Ahmad, Ketua Angkatan Muda Keadilan merangkap Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Daroyah Alwi Exco Kerajaan Negeri Selangor, Haniza Mohamed Talha Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN) Taman Medan, Baru Bian Pengerusi PKR Sarawak merangkap ADUN B’kelalan dan pemimpin PKR Sarawak hadir mengiringi Menteri Besar Selangor.

Azmin Ali yang tiba dengan kereta Mercedes dan diiringi pegawai polis tiba di Wisma Bapa Malaysia kira-kira jam 9.30 pagi.

Dalam pertemuan itu, Azmin Ali memuji kepimpinan Adenan Satem dalam menangani isu agama yang sebelum ini menjadi pertikaian khususnya dalam isu penggunaan Kalimah Allah di dalam Al-Kitab.

Ini telah diperjelaskan Ketua Menteri Sarawak sebelum ini bahawa kaum Bumiputera Bukan Islam boleh menggunakan Kalimah Allah di dalam Al-Kitab atas sebab telah lama menggunakannya dan mereka tidak pernah cuba untuk menyalahgunakan perkataan itu kepada orang Islam di Sarawak.

10991558_817607694985535_5721395640572344680_oSelain itu, Azmin Ali juga mengalu-alukan tindakan Ketua Menteri Sarawak yang tegas dalam memerangi isu rasuah dan kegiatan pembalakan haram.

Biarpun baru setahun memegang jawatan Ketua Menteri Sarawak, kredibiliti Adenan Satem dalam menangani banyak isu seperti rasuah dan tanah yang menjadi fokus PKR dan pembangkang diyakini mampu ditangani dengan baik.

Ini merupakan polisi Adenan Satem sejak mula-mula mengambil alih pemerintahan Sarawak bagi memastikan pentadbirannya dalam keadaan terbaik dan bersih bagi mengelak penyalahgunaan kuasa.

Tindakan proaktif Adenan Satem yang meminta setiap pemimpin negeri dan jabatan di Negeri Sarawak memperakui surat integriti bagi mengisytiharkan harta bertujuan membasmi rasuah dan membersihkan pentadbirannya.

Timbalan Presiden PKR itu juga menzahirkan rasa gembira apabila Ketua Menteri Sarawak itu menyatakan PKR dan pembangkang bukan musuh.

Kenyataan itu sekali gus memberikan gambaran bahawa pembangkang boleh bekerjasama dengan kepimpinan Barisan Nasional BN) Sarawak dalam memajukan negeri ini.

Seperti yang pernah diberitahu Ketua Menteri Sarawak dalam setiap majlis yang dihadirinya apa yang telah dan sedang kami (Kerajaan BN Sarawak) adalah untuk rakyat.

Sekiranya pembangkang mengakui keberkesanannya mereka boleh menyertai kita (BN Sarawak).

Perpaduan dan keharmonian pelbagai kaum di Sarawak telah menarik perhatian Menteri Besar Selangor itu untuk bekerjasama dengan kepimpinan Negeri Sarawak mengenai kaedah terbaik untuk mengekalkan hubungan perpaduan antara kaum di Selangor.

Ini kerana biarpun Sarawak mempunyai lebih 70 suku kaum, tetapi mereka hidup dalam keadaan harmoni dan sejahtera.

Sebelum mengakhiri pertemuan itu, Azmin Ali meminta Ketua Menteri Sarawak untuk mengkaji balik syarat dan keputusan Kerajaan Negeri Sarawak yang tidak membenarkan beberapa pemimpin PKR dan pembangkang memasuki Sarawak.

Adenan Satem sebelum ini kerap kali mengulangi bahawa Kerajaan Negeri Sarawak mempunyai kuasa imigresen dan tidak teragak-agak untuk menggunakannya sekiranya kehadiran mereka itu boleh memecahbelahkan perpaduan dan menimbulkan ketegangan kaum dalam apa cara sekalipun.

Pertemuan itu merupakan sejarah bagi PKR Pusat apabila dapat berjumpa dengan Ketua Menteri Sarawak sepanjang PKR menjadi pembangkang di Sarawak. -KLXPress