25
Sel, Feb

Hanya Parti Tempatan Sahaja Yang Mampu Menentukan Masa Depan Negeri Sarawak

Sarawak
Typography

SIBU - Pengundi di Sarawak diingatkan harus bijak membuat pilihan semasa turun mengundi Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) pada 9 Mei nanti.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg berkata ini sangat penting bagi memastikan kelancaran usaha Kerajaan Negeri menuntut kembali hak Sarawak seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Dalam hal ini, pengundi harus berhati-hati memilih wakil rakyat di mana faktor kekuatan parti secara keseluruhannya menjadi asas dan bukannya berdasarkan kepada kekuatan individu.

"Tiada parti politik lain yang dapat menentukan masa depan rakyatnya sendiri kecuali parti tempatan kelahiran  Sarawak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Malam Mesra Bersama Komuniti Cina di sini, semalam.

Hadir sama di majlis tersebut Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan Dato Sri Wong Soon Koh dan isteri, Menteri Muda Sains dan Teknologi Penyelidikan Dr Annuar Rapa'ee, Temenggung Datuk Vincent Lau dan Residen Sibu Charles Siaw.

Sarawak memerlukan ramai wakil rakyat di peringkat Persekutuan memandangkan negeri ini yang terbesar di Malaysia.

"Sekarang ini kita (Sarawak) mempunyai tujuh menteri di kabinet Persekutuan dan jika Barisan Nasional (BN) menang PRU14, saya akan meminta Perdana Menteri menambah kuota menteri untuk Sarawak," jelasnya.

Pada PRU14 ini, adalah sangat penting untuk calon BN di kerusi Parlimen Sibu dan Lanang memenangi PRU14 bagi menguatkan lagi suara wakil rakyat Sarawak.

Jika calon BN menang, ini bermakna rakyat di Sibu dan Lanang akan bersamanya dalam usaha mendapatkan kembali hak Sarawak.

Abang Zohari turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi hab inovasi Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCI) dan RM1 juta untuk membaiki bangunan Gabungan Kesatuan Cina (UCA).

 

Turut diumumkan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi menaik taraf sistem kumbahan di Rejang Park Sentral.