19
Rab, Feb

Wong Rayu Sokong Calon BN Bawa Perubahan Kepada Sibu

Sarawak
Typography

SIBU - Sudah tiba masanya untuk rakyat Sibu berubah ke arah yang lebih baik dengan memilih calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan Dato Sri Wong Soon Koh berkata sejak sekian lama (dua penggal) di bawah pembangkang, kini tiba masanya rakyat Sibu khususnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan berubah dan memilih BN.

“Saya mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada pengundi-pengundi di kawasan DUN Bawang Assan terutama penduduk-penduduk Bumiputera atas sokongan padu diberikan kepada saya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu. 

“Saya berharap pengundi-pengundi akan memberi sokongan sama kepada Andrew pada PRU14 ini,” katanya.

Beliau berucap di Majlis Makan Tengah Hari dan Pemimpin Bersama Rakyat di sini semalam. 

Wong yang juga ADUN Bawang Assan juga berkata, Andrew adalah seorang calon berkelayakan, berkaliber, dedikasi dan sedia berkhidmat kepada penduduk di Sibu. 

“Saya harap anda semua menyokong beliau agar kita dapat membawa lebih banyak pembangunan ke kawasan ini,” katanya.

Pada majlis sama, Wong turut mengagihkan geran projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah hampir RM500 ribu kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini. 

 

Majlis itu dihadiri calon BN Parlimen P.212 Sibu Datuk Wong Kee Yew @ Andrew Wong, Temenggung Stanley Geramong, Pemanca James Semilan dan pengerusi penganjur Andrew Shilling.