25
Jum, Sep

Pembangunan Batang Lupar Tersenarai Dalam Agenda Utama Negara

Sarawak
Typography

SEBUYAU - Jambatan Batang Lupar akan menjadi pemangkin kepada pembangunan yang berterusan di Parlimen Batang Lupar.

Calon Barisan Nasional (BN) Dato' Sri Rohani Abdul Karim berkata jambatan ini juga menjadi salah satu perkara utama yang digariskan dalam Manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato' Sri Najib Tun Razak baru-baru ini.

"Jambatan Batang Lupar bukan sahaja akan menjadi nadi ekonomi kepada rakyat setempat malahan akan merancakkan lagi pembangunan kawasan pesisir", katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ulang Tahun Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) ke-56 Peringkat Sebuyau.

Dalam pada itu, pembangunan yang dikecapi di Sarawak hari ini adalah hasil daripada usaha Kerajaan BN.

"Tidak terhitung pembangunan yang dibawa oleh Kerajaan BN terutamanya kepada penduduk Sarawak di luar bandar.

"Perdana Menteri sendiri telah beberapa kali turun ke Batang Lupar dan membawa banyak transformasi kepada penduduk setempat di sini. Antaranya 12 sekolah berkonsepkan IBS yang terbanyak di Malaysia iaitu di Parlimen Batang Lupar, pembinaan dewan masyarakat, klinik, masjid, jambatan Tandang Sari dan Batang Lupar yang keduanya dizahirkan secara spontan dan pelbagai lagi", katanya.

Rohani turut berterima kasih kepada wanita yang turut menjadi penggerak kepada pembangunan negara. 

"Kerajaan hari ini telah meletakkan golongan wanita di tempat selayaknya dalam agenda negara.

 

"Ini dibuktikan melalui Manifesto BN yang menggariskan kepentingan peranan wanita iaitu utamakan ibu dan wanita dengan meletakkan golongan ini di tempat yang begitu tinggi dalam masyarakat," ujarnya.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.