19
Rab, Feb

Pengundi Cina Di Sarawak Diyakini Kembali Kepada BN

Sarawak
Typography

KUCHING - Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg yakin bahawa pengundi Cina di Sarawak akan kembali kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) ini.

Keyakinan ini timbul selepas kesepakatan yang ditunjukkan dua parti yang mewakili masyarakat Cina di Sarawak Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) dalam kempen PRU14.

“Saya nampak ada tanda perpaduan di kalangan masyarakat Cina, selepas SUPP dan UPP bergabung tenaga untuk menghadapi pilihan raya ini. 

“Ini adalah petanda baik bahawa kita bukan sahaja dapat mempertahankan kerusi yang disandang tetapi juga boleh memenangi beberapa kerusi daripada pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi temu bual khas bersama media di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) lama, malam tadi.

Ditanya mengenai prestasi calon-calon baharu BN dalam tempoh kempen PRU14 ini, beliau berkata turut berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan mereka menjelang dua hari lagi PRU14 pada 9 Mei nanti.

“Saya nampak calon baharu ini boleh tahan dan mereka mendapat penerimaan yang memberangsangkan daripada rakyat.

"Malah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan Parlimen turut sama membantu dalam membawa calon baharu BN ke lapangan untuk bertemu rakyat,” katanya. 

Justeru, beliau optimis BN Sarawak akan dapat mencapai sasaran memenangi 28 kerusi daripada 25 kerusi yang pernah dimenangi dalam PRU13 yang lalu. 

 

Katanya, tiga kerusi tambahan yang diyakini mampu dirampas BN kali ini adalah Parlimen Sibu, Parlimen Miri dan Parlimen Stampin.