19
Rab, Feb

Kerajaan Luluskan Projek Tebingan Sungai Bernilai RM25 Juta Di Kampung Muara Tebas

Sarawak
Typography

KUCHING - Penduduk di Kampung Muara Tebas boleh menarik nafas lega selepas kerajaan telah meluluskan cadangan projek pembinaan Tebingan Sungai di kampung berkenaan.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, projek ini telah diluluskan kerajaan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) sebelum Parlimen dibubarkan itu melibatkan kos sebanyak RM25 juta. 

“Ketika ini DID sedang merangka pelan projek pembinaan Tebingan Sungai Kampung Muara Tebas yang berharga RM25 juta. Selepas selesai proses berkenaan, baharulah kerja-kerja seterusnya akan dimulakan. 

“Siapnya projek ini bakal mengubah landskap kampung nelayan apabila siap,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Program Pengumpulan Sisa Elektronik Isi Rumah bagi negeri Sarawak 2018 di Dewan Masyarakat Kampung Muara Tebas di sini, hari ini. 

Wan Junaidi turut berkata tebingan sungai telah dibina di beberapa kawasan dalam Parlimen Santubong sebelum ini seperti Santubong, Buntal, Sematan dan Lundu. 

Bagaimanapun, kesemua projek tersebut hanya menelan kos masing-masing sebanyak RM8 hingga RM10 juta. 

“Justeru, dengan peruntukan sebanyak RM25 juta untuk pembinaan Tebingan Sungai Kampung Muara Tebas, ia akan lebih baik berbanding tebingan sungai di tempat lain,” katanya. 

 

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Dr Hazland Abang Hipni dan Ketua Pengarah Alam Sekitar Malaysia, Dato’ Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim.