25
Sel, Feb

Pembangkang Guna Bahasa Kesat Ketika Berceramah Sangat Dikesali

Sarawak
Typography

BINTULU - Penggunaan bahasa kurang sesuai atau lebih tepat lagi menggunakan bahasa kesat oleh pembangkang ketika berceramah di hadapan rakyat amatlah dikesali.

Ini menggambarkan imej sebenar pemimpin pembangkang yang langsung tidak mencerminkan imej politik matang dan imej rakyat di negeri ini.

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing berkata setiap individu yang ingin menjadi wakil rakyat wajar menggunakan bahasa baik terutamanya ketika berucap di khalayak ramai.

“Pihak terbabit (pembangkang) perlu dididik cara meningkatkan penggunaan tahap bahasa yang baik dan bukan menggunakan bahasa buruk dengan ucapan makian yang tidak menggambarkan diri mereka sebagai ahli politik atau bekerjaya profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kesatuan Guru Sarawak (STU) Bahagian Bintulu ke-15 dan penyampaian sijil galakan serta insentif akademik cemerlang di sini, semalam. 

Turut hadir Setiausaha Politik Ketua Menteri Soo Li Ching, Presiden STU Jisin Nyud, Pengerusi STU Bahagian Bintulu, Soo Siew Huong dan Pegawai Pendidikan Daerah Sebauh, Tero Bayel. 

Justeru, generasi baharu perlu diberikan didikan dengan cara terbaik dalam penggunaan bahasa melalui pendidikan awal kanak-kanak supaya tabiat dan sikap mereka menjadi lebih baik serta berdisiplin setelah dewasa kelak.

“Sekiranya sudah berada di universiti atau semasa di sekolah menengah, membimbing seseorang mungkin sudah terlambat dan sukar membentuk mereka menjadi ahli masyarakat yang baik serta berdisiplin,” katanya. 

Tiong turut berkata, guru adalah tulang belakang negara yang berkorban masa dan tenaga dalam mendidik generasi pada hari ini. 

Beliau berharap guru-guru ditempatkan di sekolah luar bandar tidak tertekan dan berfikiran positif demi memberi didikan sempurna kepada anak-anak di luar bandar. 

“Pengorbanan guru-guru sememangnya saya pasti mendapat ganjaran di kemudian hari,” katanya.