03
Rab, Mac

Calon BN Batang Sadong Berkempen Guna Bahasa Jawa

Sarawak
Typography

SADONG JAYA - Menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, pelbagai cara digunakan oleh calon –calon untuk menarik perhatian para pengundi  di kawasan masing –masing semasa berkempen.

Justeru itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Batang Sadong Dato’ Sri Nancy Shukri  telah mengambil pendekatan sedikit berbeza dari kempen sebelumnya  ketika sesi bersama masyarakat di Kampung Sadong Jaya Ulu, di sini baru-baru ini.

Nancy yang juga penyandang kerusi parlimen tersebut telah berjaya  memikat hati masyarakat Jawa di kampung tersebut apabila berkempen bukan sahaja menggunakan bahasa Melayu Sarawak malahan di selang-seli dengan bahasa Jawa.

"Aku teko kene gowo pembangunan ninggo riko wong men penak gawek kejo arian (Saya datang ke sini membawa pembangunan untuk memudahkan anda semua menjalankan kehidupan seharian).

"Macem-macem wes digawek perintah ninggo rikowong, surau baru, dewan baru karo jeng paling baru saiki, tempat main bol jeng gedi karo apik ninggo wong enom gawek aktiviti (Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk anda semua seperti surau baharu, dewan baharu serta sebuah gelanggang futsal yang sangat besar dan cantik untuk digunakan terutamanya para remaja mengadakan aktiviti riadah dan bersukan)," katanya dalam ucapan seterusnya disambut tepukan gemuruh lebih 100 komuniti Jawa di kampung tersebut.

Memasuki kali ketiga bertanding di kerusi parlimen tersebut, Nancy turtu memaklumkan yang  kerajaan BN telah melaksanakan pelbagai projek infrastruktur di kawasan tersebut untuk kemudahan rakyat setempat.

"Keadaan jalan raya semakin baik, infrastruktur ini bukan sahaja beri kemudahan malahan dari segi ekonomi penduduk dapat bawa produk mereka seterusnya membantu meningkatkan ekonomi masyarakat. Contoh paling jelas ialah pembinaan Jambatan Batang Sadong yang membawa kebaikan serta memudahkan masyarakat untuk berulang-alik," ujarnya.

Diminta mengulas lanjut tentang pendekatan yang diambil beliau  apabila berbahasa Jawa ketika berkempen, Nancy berkata langkah itu diambil agar bersesuaian dengan keadaan setempat.

"Kawasan ini merupakan penempatan masyarakat Jawa, ini adalah kaedah dalam menghubungkan anda dengan rakyat, jadi saya kena belajar (berbahasa Jawa) untuk sesuaikan dengan keadaan," tambahnya.

Selain berbahasa Jawa, Nancy juga fasih berbahasa Iban memandangkan kawasan Parlimen Batang Sadong mempunyai pelbagai kaum dan ianya satu kelebihan untuk seseorang wakil rakyat jika dapat memahami bahasa – bahasa lain di kawasan mereka bagi memudahkan perbualan apabila berjumpa.