03
Rab, Mac

Sektor Pelancongan Di Sadong Jaya Akan Diperkasakan

Sarawak
Typography

SADONG JAYA - Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Batang Sadong bagi Pilihan Raya Raya Umum ke-14 Datuk Seri Nancy Shukri berhasrat untuk memperkasa sektor pelancongan di kawasan itu dengan memanfaatkan sepenuhnya konsep inap desa.

menurutnya yang juga penyandang kerusi Parlimen tersebut,  industri tersebut yang dijalankan di beberapa buah kampung di Sadong Jaya dilihat mempunyai kelebihan tersendiri apabila menawarkan bukan sahaja penginapan tetapi juga peluang mengenali seni budaya masyarakat setempat.

Memberi contoh sebuah inap desa di Kampung Iboi Hulu di sini, Nancy berkata mereka yang menginap di situ berpeluang menyaksikan adat resam masyarakat Bugis.

"Antara keunikan Sadong Jaya ialah pengunjung dapat melihat seni budaya masyarakat setempat. Saya beri contoh Suraya Homestay pengunjung boleh belajar, memahami seni budaya serta masakan serta makanan masyarakat Bugis apabila menginap di situ."

"Ini antara fokus saya untuk kawasan ini supaya orang luar datang ke inap desa yang ada di Sadong Jaya," katanya ketika ditemui semalam semasa berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) di kawasan Sadong Jaya.

Setakat ini ujarnya, Sadong Jaya yang terletak kira-kira 75 kilometer dari Kuching telah memiliki 14 inap desa yang berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Selain pengalaman tinggal di inap desa, Sadong Jaya juga menawarkan pelbagai tarikan lain termasuk demonstrasi pembuatan parang, badik, gasing, rumah panjang masyarakat Iban dan kelip-kelip.