03
Rab, Mac

Perjuangan Untuk Pembangunan Rakyat Bukan Perjuangan Wakil Rakyat Seorang, Ia Perjuangan Bersama

Sarawak
Typography

SIMUNJAN - Pemimpin-pemimpin peringkat akar umbi terutamanya dalam parti PBB Sarawak harus berani mempertahankan calon BN yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14)  ini kerana perjuangan yang dibawa oleh wakil rakyat itu adalah perjuangan bersama demi memenuhi keperluan dan impian rakyat.

Menurut Dato' Sri Hajah Nancy Shukri, para pemimpin tersebut di peringkat akar umbi juga tidak harus gentar sebaliknya melawan mereka yang cuba mencabar dengan menyampaikan hujahan fakta tentang limpahan pembangunan yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Barisan Nasional selama ini.

"Ini adalah perjuangan bersama kita, bukan saya seorang sahaja yang bekerja.

"Jika tidak kerana anda semua yang ada di sini yang mengemukakan surat permohonan dan menyampaikan kepada saya, jalanraya yang anda gunakan hari ini mungkin belum dilaksanakan.

"Saya bawa perkara ini ke peringkat tertinggi dan kementerian yang relevan pada masa itu dan lihat sekarang, bagaimana ia memanfaatkan seluruh penduduk di sini."

"Oleh itu, jangan takut untuk berdepan dengan mereka yang mencabar kita kerana kita telah menjalankan tugas yang diamanahkan, buktinya sudah ada.

Dulu tidak ada jalan di Kg Lubok Samsu ini, kini sudah ada, elektrik juga sudah ada, air sebagaimana yg kita tahu, air tadahan di Bengoh Dam kini hanya menunggu masa untuk dilepaskan kerana masih tinggal sedikit kerja-kerja teknikal yang perlu diselesaikan,"katanya ketika mengadakan program "walkabout" ke ranting-ranting PBB Zon Punggor di sini.

Justeru itu, Nancy berharap semua pihak akan terus membantu beliau kerana dengan membantu dirinya ianya seperti  bermakna penduduk  membantu diri  sendiri juga.

Tambahnya lagi, semua pembangunan yang dinikmati rakyat di sini hari ini adalah hasil usaha semua penduduk sendiri  yang telah menyuarakan keperluan penduduk kampung kepada wakil rakyat yang telah dilantik dan wakil rakyat juga telah berusaha sebaik mungkin agar ianya dilaksanakan oleh kerajaan yang ada dengan sebaiknya.