03
Rab, Mac

Calon BN Parlimen Lanang Berjanji Beri 50 Peratus Gaji Dan Elaun Ahli Parlimen Kepada Sekolah Persendirian Cina

Sarawak
Typography

SIBU - Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Lanang Kelvin Kong menunaikan janjinya secara bertulis selepas pengumuman yang dibuat pada 22 April lalu mendapat reaksi positif daripada rakyat Lanang.

Kelvin sebelum ini telah mengumumkan bahawa beliau akan mengagihkan sebanyak 50 peratus daripada gaji termasuk elaun sebagai Ahli Parlimen seandainya beliau menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini. 

Hari ini, beliau menyerahkan surat perjanjian kepada tiga buah sekolah persendirian Cina iaitu Sekolah Menengah (SM) Tinggi Katolik, SM Wong Nai Siong dan SM Citizen Stabau di sini. 

"Pada hari ini, saya telah menyediakan dokumen rasmi untuk sekolah berkenaan bahawa saya tidak hanya bercakap atau berjanji kosong. 

"Saya tahu banyak yang mempertikaikan serta mempersoalkan keikhlasan saya berkenaan dengan janji saya itu. 

"Dalam perjanjian itu, setiap sekolah tersebut akan menerima RM5,000 sebulan.

"Namun hari ini, saya merealisasikannya menerusi surat perjanjian ini dengan syarat BN menang di Parlimen Lanang 9 Mei," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut dihadiri wakil sekolah-sekolah terbabit.

Surat perjanjian itu diserahkan kepada SM Tinggi Katolik diwakili oleh pengerusi lembaga pengurusannya Wong Chih Yong, SM Wong Nai Siong diwakili oleh pengetuanya Lu Ing Siong manakala SM Citizen Stabau diwakili oleh pengerusi lembaga pengurusannya Tung Tat Shen yang masing-masing hadir untuk menerima surat perjanjian itu sebagai bukti. 

Hadir sama ialah Pengerusi Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Cawangan Dudong, Wong Chin Yong. 

Tidak cukup dengan itu, Kelvin turut berikrar untuk membantu setiap sekolah rendah Cina di Parlimen Lanang menerusi peruntukan geran RM100,000 untuk setiap satu pada setiap tahun. 

"Semua sumbangan saya ini adalah untuk kebajikan gurunya serta murid-murid. Saya sangat mengambil berat tentang masalah sekolah Cina dan tahu apa masalahnya. 

"Justeru, saya tidak teragak-agak untuk membantu mereka," tambahnya. 

 

Bagaimanapun, semua ini hanya akan dapat direalisasikan apabila beliau menang dalam PRU14 ini.