19
Rab, Feb

Jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Sesuai Diberikan Kepada PKR Sarawak

Sarawak
Typography

KUCHING - Selepas pengumuman tiga jawatan menteri dari 10 kementerian, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak berharap jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah diberikan kepada PKR Sarawak.

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian berkata, adalah penting untuk kita dari Sarawak mempunyai jawatan menteri di dalam kabinet baru ini bagi memastikan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Berdasarkan itu, porfolio kementerian yang sesuai diberikan kepada PKR Sarawak adalah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Menurutnya, kementerian itu sesuai memandangkan Sarawak masih ketinggalan dari segi pembangunan terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Saya fikir kementerian yang sesuai untuk PKR Sarawak adalah KKLW memandangkan kita di Sarawak dan juga Sabah masih ketinggalan dari segi kemudahan dan infrastruktur.

“Sebab itu, kita amat berharap perkara ini dapat dipertimbangkan dengan sewajarnya oleh pucuk pimpinan kita,” katanya.

Baru yang juga Ahli Parlimen Selangau berharap agar ada wakil Sarawak di dalam kabinet baru Pakatan Harapan (PH) dalam memastikan Sarawak sentiasa mendapat perhatian di dalam membangunkan negara ini.

“Perkara ini masih kita bincangkan dan kita berharap PKR Sarawak mempunyai tempat dalam 10 jawatan menteri dalam kabinet PH nanti,” katanya lagi.

Terdahulu, Tun Mahathir telah mengumumkan tiga menteri kanan itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dilantik menjadi Menteri Kewangan, Presiden AMANAH Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Menteri Dalam Negeri.

Semalam, Tun Mahathir turut mengumumkan Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, Tan Sri Mohd Hassan Marican, Robert Kuok dan Prof Dr Jomo Kwame Sundaram sebagai anggota Majlis Penasihat Kerajaan.

Manakala, tujuh lagi menteri untuk melengkapkan 10 kementerian awal kerajaan baharu akan diumumkan kemudian.