25
Sel, Feb

TIADA SEKATAN AKTIVITI KEAGAMAAN DI MRSM

Sarawak
Typography

KUCHING: Tidak ada halangan bagi mana-mana pelajar sama ada beragama Kristian mahupun Islam untuk menjalankan aktiviti agama di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Jelas beliau sejak MRSM diwujudkan pada 1972, tiada dasar dalam institusi pendidikan itu yang menghalang para pelajarnya untuk mengamalkan agama masing-masing.

“Penubuhan MRSM adalah bertujuan menempatkan anak-anak Bumiputera untuk didedahkan dengan ilmu pengetahuan sebagai satu landasan yang memungkinkan mereka meningkatkan keupayaan diri dalam pendidikan.

“Namun di Semenanjung Malaysia, sebahagian besar mentafsirkan ia adalah untuk orang Islam tetapi berlainan di Sabah dan Sarawak di mana ia membabitkan Bumiputera daripada bukan Islam.

“Sejak kelahiran MRSM, kita tidak ada sekatan untuk para pelajar mengadakan amalan berhubung kait dengan agama masing-masing sebaliknya bila tiap hujung minggu, kita menyediakan kenderaan untuk menghantar mereka ke rumah ibadat masing-masing.

“Malah mereka juga boleh membawa Bible atau al-Quran masing-masing,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sidang media itu diadakan selepas diminta oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang malam kelmarin mengadakan mesyuarat dengan Shafie di sini dengan disertai Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Justeru, Shafie berkata tohmahan bahawa MRSM menghalang pelajarnya menunaikan amalan agama adalah tidak berasas dan tidak wajar dipolitikkan.

Beliau turut menegaskan bahawa tidak akan berkompromi jika terdapat institusi berkenaan yang menghalang para pelajarnya untuk mengamalkan agama masing-masing.

“Jangan politikkan perkara ini… ini adalah tempat untuk mendidik anak-anak kita.

“Kalau ada perkara yang menyekat atau menghalang mereka untuk mengamalkan agama di MRSM, maklumkan kepada kami.

“Kalau ada kes seperti ini, kami akan mengambil tindakan susulan,” katanya.

Dalam pada itu, Shafie berkata setakat ini MRSM telah berupaya mengeluarkan hampir 15,000 pelajar daripada kaum Bumiputera.

Katanya pada tahun lepas, bilangan permohonan pelajar yang diterima di Sarawak adalah 833 permohonan manakala di Sabah sebanyak 854 permohonan.

“Tetapi daripada permohonan ini, kami hanya mampu menempatkan seramai 430 pelajar di Sabah dan 439 pelajar di Sarawak kerana kekangan tempat,” katanya sambil menambah terdapat juga MRSM yang pengetuanya adalah bukan Islam.

Sementara, Shafie memberitahu bahawa sebuah lagi MRSM akan dibina di Sarawak dalam masa terdekat iaitu di Lawas.

Baru-baru ini, Pengerusi DAP Serian Edward Andrew Luwak berkata ibu bapa Dayak bimbang menghantar anak mereka ke MRSM disebabkan undang-undang dan garis panduan berkaitan agama.

Beliau menjelaskan antara peraturan berkaitan ialah larangan membawa barangan berkaitan agama seperti salib dan Bible selain larangan membawa makanan disediakan di rumah dan isu penggunaan pengangkutan tempat itu untuk ke gereja.

“Sekatan dan larangan ini menyebabkan ibu bapa Dayak tidak menghantar anak mereka ke kolej sebegini kerana takut anak mereka dipengaruhi ajaran Islam,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo