01
Kha, Okt

PERKHIDMATAN ADENAN SATEM CEMERLANG DAN DITERIMA RAKYAT

Sarawak
Typography

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem menunjukkan prestasi yang cemerlang dan berjaya meyakinkan rakyat terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN) di negeri ini sejak mengambil alih jawatan tersebut pada 28 Februari tahun lepas.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dasar-dasar dan isu ditangani oleh Adenan telah meraih sambutan yang memberangsangkan daripada rakyat negeri ini.

“Dasar-dasar yang telah beliau umumkan, ketegasan beliau dari segi menangani isu-isu utama termasuk rasuah, pembalakan haram, mendapat sambutan begitu memberangsangkan dan berharap trend ini berterusan sehingga Sarawak menghadapi Pilihan Raya Negeri,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat dengan Adenan, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) negeri terdiri daripada Presiden PRS Tan Sri Datuk Amar Dr James Masing, Presiden SPDP Datuk Seri Tiong King Sing, Presiden SUPP Datuk Prof Dr Sim Kui Hian, Timbalan Presiden II PBB Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg dan Naib Presiden Kanan PBB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

 Janji pilihan raya lalu akan dilaksana

Bagaimanapun, Muhyiddin berkata bila Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan adalah bergantung kepada keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Adenan.

Muhyiddin berkata, pada mesyuarat tersebut mereka membincangkan perkara-perkara utama yang perlu dihadapi pada PRN akan datang.

Menurut beliau, antara isu yang turut diajukan oleh pemimpin parti-parti komponen BN Sarawak ialah penyiapan projek yang dijanjikan semasa pilihan raya sebelum ini.

Katanya, pemimpin BN Sarawak memohon agar pelaksanaan projek-projek disegerakan.

“Saya hendak maklumkan di sini, apa yang kita sudah janjikan secara rasmi untuk Sarawak akan kita sempurnakan. Itu komitmen kerajaan BN, begitu juga peringkat negeri,” tegasnya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pelaksanaan projek-projek itu merupakan proses berterusan ke arah membangunkan Sarawak dan mungkin mengambil masa.

Bagi memastikan projek itu dapat disiapkan secepat mungkin, katanya, wakil rakyat BN diminta mengemukakan senarai projek di kawasan masing-masing yang belum dilaksanakan kepada urus setia BN negeri dan seterusnya dihantar kepada urus setia BN pusat.

“Dari situ, mereka akan mengenal pasti kementerian bertanggungjawab dan bila projek dapat diteruskan dan dilaksanakan. Lebih cepat lebih baik,” ujarnya.

Sumber: Utusan Borneo

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.