31
Sab, Okt

KAMPUNG BUDAYA SARAWAK AKAN TERUS RELEVAN PADA MASA AKAN DATANG

Sarawak
Typography

KUCHING – Semenjak dibuka kira-kira 25 tahun lepas, Kampung Budaya Sarawak dilihat masih relevan dan akan terus kekal kerana reputasinya yang cemerlang dalam industri pelancongan sejak 25 tahun lepas.

Kampung Budaya Sarawak yang dikendalikan di bawah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah berjaya melengkapkan pelaburan pelancongan SEDC di kawasan pesisir Santubong.

Dalam memastikan Kampung Budaya Sarawak terus relevan pada masa akan datang, kerajaan di bawah Kementerian Pelancongan Negeri Sarawak akan terus berusaha mempopularkan Kampung Budaya Sarawak di peringkat dunia.

Demikian ujar Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg ketika berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-25 Kampung Budaya di sini, Sabtu lepas.

“Dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang kita kena menghubungkan tempat ini dengan Semenanjung Santubong termasuk Pusat Saintifik Wallace di Santubong.

“Wallace merupakan tempat di mana rama-rama Birdwing Rajah Brooke telah ditemui dan ia akan disambungkan dengan pusat yang akan dihubungkan dengan kebudayaan negeri Sarawak melalui Kampung Budaya.

Manakala Menteri Muda Pelancongan, Datuk Talib Zulpilip berkata Kampung Budaya Sarawak sebelum ini telah melakar pelbagai sejarah sama ada dari segi peranan dan fungsinya serta tarikan yang ada pada Kampung Budaya Sarawak itu sendiri.

“Kampung Budaya telah melakukan yang terbaik dan memenangi banyak anugerah dan kita benar-benar ikhlas mempamerkan Sarawak untuk dikenali di mata dunia.

“Marilah kita melihat ke hadapan akan apa yang perlu dilakukan pada masa depan untuk melakukan yang lebih baik dan kekal relevan ke arah industri pelancongan dan percutian di Sarawak.

Kampung Budaya Sarawak juga membuka muzium hidup, di mana pengalaman pengunjung melihat kehidupan sebenar pelbagai kumpulan etnik utama di Sarawak yang ditunjuk bagi mendidik dan mengekalkan seni dan kraf di kalangan generasi muda.

Sementara itu, Pengurus Besar Kampung Budaya Sarawak Jane Lian Labang berkata, Kampung Budaya Sarawak menjadi tempat untuk mempamerkan tradisi pelbagai kaum di Sarawak melalui produk inovatif dan perkhidmatan kelas atasan dan memberikan semua pengunjung satu pengalaman hebat warisan budaya yang kaya di Sarawak.

Sejak 25 tahun yang lalu Kampung Budaya Sarawak telah memaparkan pemahaman yang lebih baik tentang Sarawak dari segi warisan budaya dan kepelbagaian biologinya.

Pihaknya begitu komited untuk mengekalkan gabungan warisan dan budaya Sarawak serta sifat semula jadinya.

Turut hadir Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg, Timbalan Setiausaha Kewangan Negeri Datu Laura Lee Ngien Hon, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan Sarawak Datu Ik Pahon Joyik dan Pengurus Besar SEDC Soedirman Aini. - KLXPress

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.