31
Sab, Okt

SARAWAK AKAN MEMBANGUN LEBIH BAIK DI BAWAH BN

Sarawak
Typography

MIRI - Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yakin Sarawak akan terus membangun dengan lebih baik di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dan kepimpinan sedia ada.

Ini diakui dengan Sarawak kini menikmati pembangunan yang pesat hasil hubungan dan kerjasama yang baik daripada pemimpin BN Pusat.

Sebaliknya, jika Sarawak jatuh ke tangan kepimpinan pakatan yang diterajui oleh parti dari luar (Pakatan Pembangkang), ia mungkin akan menjejaskan polisi pembangunan negeri ini dan keharmonian serta perpaduan di kalangan rakyat negeri ini, yang tidak difahami oleh ‘orang luar’.

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan bin Haji Satem, Sarawak akan menjadi lebih makmur.

“Sebagai ‘orang luar’ yang berada di dalam Sarawak (kerana berkahwin dengan orang Sarawak) dan beliau telah menyaksikan perubahan yang cukup ketara berlaku di negeri ini.

“Perubahan pembangunan yang pesat ini, bukan sahaja berlaku di satu atau dua tempat, tetapi hampir di keseluruhan negeri ini,” jelasnya.

“Justeru saya amat berharap kerajaan negeri yang ditadbir oleh BN dan parti-parti komponennya yang diterajui oleh PBB, diberi kekuatan untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri yang akan datang ini, sekali gus kembali mentadbir Sarawak dan memajukannya lebih daripada sekarang,” tambah beliau lagi.

Ini kerana katanya, kerajaan BN telah memberikan penduduknya peluang untuk hidup dengan aman damai dan makmur di Sarawak dan peluang-peluang yang melimpah untuk membolehkan rakyatnya memajukan dan meningkatkan standard hidup mereka.

“Malah di bawah kepimpinan kerajaan BN, kita diberikan pelbagai jenis bantuan, daripada bantuan kesihatan, pengajian tinggi dan pendidikan, di samping peluang niaga yang terbuka luas tanpa sekatan, asalkan ia adalah perniagaan yang sah dan bukan dilarang,” tambahnya.

Ahmad Maslan berkata demikian di sini, ketika merasmikan syarikat peneraju projek dan pengurusan hijau dalam sistem pengendalian industri minyak dan gas di negeri ini iaitu Freelander Tech International Sdn Bhd (FTISB), yang terletak di Piasau Utara, Miri.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.