30
Jum, Okt

PENDUDUK RUMAH PANJANG ANJI TEMPLAK BERITA PALSU PKR BETONG

Sarawak
Typography

BETONG - Hanya kerana menyediakan ‘Tabung Bencana’ sendiri, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Betong menyifatkan kerajaan tidak memberi perhatian kepada mangsa banjir dan tanah runtuh Rumah Panjang Anji, Mupoh Baruh.

Tindakan ini sebagai cubaan untuk mengambil kesempatan dan menyebarkan berita palsu selain memberikan imej buruk kepada kerajaan.

Tuai Rumah Anji Bala serta penduduk Rumah Panjang Mupoh Baruh menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Pengerusi PKR Betong, Vernon Kedit yang disiarkan di dalam beberapa akhbar tempatan sebelum ini.

“Kami cukup kesal dengan kenyataan tersebut seperti yang disiarkan di dalam akhbar tempatan itu,” kata Tuai Rumah Anji, kononnya mereka mendakwa kerajaan mengabaikan nasib mereka dilanda musibah itu.

PKR Betong hanya mahukan publisiti murahan apabila dengan sengaja menghebohkan perkara itu walaupun dengan hanya menjenguk mereka tanpa menghulurkan apa-apa bantuan.

Katanya, membuka ‘Tabung Bencana’ bukan bererti kerajaan mengabaikan tanggungjawab membantu mereka terlibat musibah, sebaliknya itu inisiatif mereka dan tidak seperti apa dikatakan PKR.

“Kerajaan lebih mengetahui dan memahami masalah kami dan tidak semestinya bantuan dihulurkan itu segera diperolehi.

“Kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang banyak membantu seperti Pejabat Residen, Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), tentera serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana menyediakan ruang serta tempat selamat dan makanan untuk kami buat sementara waktu di Dewan Rentap dan kami amat terharu dengan bantuan dan sokongan itu,” ujarnya.

Baru-baru ini, bencana banjir kilat melanda kawasan Betong dan tidak terkecuali melibatkan Rumah Panjang Mupoh Baruh.

Banjir tersebut telah memaksa penduduk rumah panjang terbabit mengosongkan kediaman mereka sehingga sekarang, atas faktor-faktor keselamatan.

“Adalah tidak benar apa yang didakwa PKR itu bahawa mangsa tidak menerima sebarang bantuan sehingga kini dan tidak diberi perhatian sebaliknya bantuan makanan, peralatan tempat tinggal dan sebagainya telah kami terima,” jelasnya sambil menambah PKR sengaja mengapi-apikan perasaan marah penduduk.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu serta Datuk Amar Douglas Uggah atas segala bantuan yang telah diberikan dan berusaha menolong penduduk rumah panjang meskipun tidak perlu dihebohkan melalui surat khabar,” katanya.

Lawatan serta kunjungan Jabu dan Uggah telah memberikan semangat serta harapan kepada mereka dan yakin bahawa kerajaan sentiasa berusaha membantu mangsa dengan memberi bantuan meringankan bebanan mereka. -KLXPress

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.