30
Jum, Okt

NELAYAN TANGKAP IKAN EMPURAU EMAS UMPAMA MIMPI SIANG HARI

Sarawak
Typography

MUKAH – Seorang nelayan tidak menyangka rezekinya murah hari ini apabila berjaya mendaratkan seekor ikan Empurau Emas di Sungai Ulu Balingian, lebih 170 kilometer dari bandar Mukah.

Hillary Antoh, 22, berasakan seolah-olah mimpi apabila berjaya menangkap seekor ikan Empurau Emas seberat 3 kilogram.

“Selain ikan Empurau Emas, rezeki saya pagi tadi ialah dua ekor udang galah dan dua ekor ikan Tengadak,” jelasnya dengan perasaan gembira ketika mempamerkan ikan Empurau Emas.

“Inilah kali pertama saya memperoleh ikan Empurau Emas sepanjang menjadi nelayan sepenuh masa.

Ini kerana harga sekilogram ikan Empurau Emas itu boleh mencecah sehingga RM1,200.

Sebelum ini beliau hanya memperoleh ikan biasa saja seperti Tengadak, Semah, Lais dan udang galah yang sememangnya banyak di Sungai Balingian.

Ikan Empurau Emas ini akan dijual dengan harga RM500 sekilogram di bandar Mukah.

Dianggarkan berat keseluruhan ikan Empurau Emas itu mencecah 3.1 kilogram dan harganya sebanyak RM1,500.

Menurut Hillary lagi, wang itu nanti akan digunakannya untuk membeli kelengkapan menangkap ikan seperti jala dan pancing sebagai usaha berterusan untuk mencari rezeki sebagai nelayan.

Bagi Tuai Rumah, Dian Ramba, 75, sepanjang hidup beliau di sepanjang Sungai Ulu Balingian, tidak pernah seorang pun yang berjaya menangkap ikan Empurau Emas melainkan udang dan beberapa ikan sungai biasa.

Kebanyakan penduduk di Sungai Ulu Balingian bekerja sebagai nelayan sebagai sumber pendapatan selain menjalankan pertanian.

Kehadiran Tahun Baharu Cina ini telah membuka pintu rezeki Hillary apabila seorang pembeli berbangsa Cina di bandar Mukah sanggup membeli ikan Empurau Emas itu dengan harga RM1,500.

Kebiasannya ikan Empurau Emas ini hanya boleh diperoleh di Sungai Rajang, Sibu dan sekitar sungai di Bakun, Kapit yang sememangnya lubuk kepada ikan termahal di dunia ini.

Inilah kehebatan ikan Empurau Emas yang hanya boleh didapati di Sarawak. –KLXPress

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.