27
Sel, Okt

MAT SABU: PAKATAN PEMBANGKANG KEHILANGAN TIGA PEMIMPIN HEBAT

Sarawak
Typography

SIBU – Timbalan Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Mohamad Sabu atau lebih dikenali Mat Sabu menyifatkan Pakatan Pembangkang telah kehilangan tiga pemimpin utama parti itu.

Tiga pemimpin utama Pakatan Pembangkang yang hilang itu ialah mendiang Karpal Singh, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Lepak Santai Bersama Mat Sabu anjuran Badan Perhubungan PAS Sarawak di Medan Selera, Kampung Bandung malam semalam.

Menurutnya lagi, kehilangan Karpal Singh akibat kemalangan jalan raya merupakan satu kehilangan besar kerana mendiang merupakan pemimpin jiwa kemanusiaan biasa dan tegas dalam membuat keputusan.

“Manakala, kehilangan Anwar Ibrahim dalam arena politik buat sementara seorang pemimpin yang berani berjuang dari kampus ke kancah politik sekarang.

Anwar dihukum penjara selama 5 tahun apabila pendakwa raya berjaya membuktikan tertuduh (Anwar) melakukan liwat ke atas Saiful Bukhari Azlan.

Dalam situasi Anwar, beliau telah banyak diberikan ruang dan peluang apabila beberapa negara luar menawarkan ketua pembangkang itu perlindungan politik namun ditolak kerana mahu menghadapi kes liwat itu dan sanggup dipenjarakan selama 5 tahun.

Demikian juga dengan Allahyarham Nik Abdul Aziz di mana kepimpinan yang dimiliki Mursyidul Am PAS itu adalah trend yang diingini rakyat ketika ini.

“Kita dengar cerita khalifah zaman dahulu, kita tidak melihatnya, tetapi Nik Abdul Aziz adalah jelmaan akhlak itu.

Mat Sabu kini dalam rangka lawatan di Sarawak untuk bertemu dengan penyokong PAS bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang dan dalam masa yang sama menerangkan kedudukan Anwar Ibrahim yang kini sedang dipenjarakan di Sungai Buloh akibat kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan. -KLXPress

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.