25
Ahd, Okt

CERAMAH USTAZ KAZIM ELIAS BERJAYA TARIK LEBIH 10 RIBU HADIRIN

Sarawak
Typography

KUCHING – Dianggarkan lebih 10 ribu warga Kuching hadir di Stadium Perpaduan, Petra Jaya bagi melihat dan mendengar sendiri ceramah daripada penceramah tersohor Malaysia, Datuk Ustaz Kazim Elias (DUKE) dalam majlis yang dianjurkan Pemuda PBB Zon Kuching di sini, malam tadi.

Kehadiran DUKE sememangnya amat dinantikan warga Kuching apabila penonton mula membanjiri Stadium Perpaduan seawal jam 6 petang untuk sama-sama merasai suasana ceramah DUKE.

Sebelum itu, DUKE pada sebelah paginya telah bersama dengan penduduk di Bandaraya Kuching di Masjid Darul Hana, Kampung Patingan dalam pengisian Program Karnival Masjidku.

Program bermula dengan solat Maghrib dan Isyak secara berjemaah serta tazkirah ringkas.

Selepas itu, program diserikan lagi dengan alunan Qasidah oleh Kumpulan Ahbahul Maulid sebelum ucara kemuncak Ceramah Rasulullah Idola Umat yang disampaikan oleh Datuk Ustaz Kazim Elias.

Seperti biasa dan di kebanyakan ceramah yang dihadirinya, penonton dihiburkan dengan gaya penyampaian yang bersahaja dan santai serta diselitkan dengan lawak jenaka hingga membuatkan penonton tidak berganjak sehingga selesai program.

Menurut DUKE, kehadiran pemimpin di peringkat Persekutuan dan Negeri seperti mana yang dilihat di Sarawak ini jelas menggambarkan keprihatinan pemimpin yang memenuhi kehendak rakyat.

“Rakyat di Malaysia ini diseru kekalkan keamanan, bersatu padu serta berbuat baik sesama Islam dengan menjadikan Malaysia ini negara yang diberkati dan diredhai Allah S.W.T,” jelasnya dengan penuh pengharapan.

Pada majlis ilmu ini yang diadakan pada malam tadi telah membuktikan Allah S.W.T masih sayangkan umatnya kerana masih tersemat di hati rakyat untuk hadir bagi sama-sama mendengar dan menghayati perjuangan Rasulullah S.A.W.

“Tunjukkan kepada masyarakat dunia bahawa Islam itu indah sebagaimana yang pernah dibawa oleh Rasulullah S.A.W.

“Islam itu bersaudara dan seharusnya kita sebagai umat Islam harus mengekalkan persaudaraan ini dan jangan dipecahbelahkan dengan agenda politik yang rakus dan tamak.

Oleh itu, kita jadikan Malaysia ini sebagai contoh kepada dunia luar bahawa kepelbagaian kaum tidak menghalang kita untuk hidup aman dan bertoleransi sesama masyarakat.

Turut hadir Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari, Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak yang juga Timbalan Presiden PBB Sarawak, Dato Seri Haji Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia, yang merupakan Ketua Pemuda PBB Sarawak dan Dr Haji Abd Rahman bin Junaidi, ADUN N.4 Pantai Damai.

Sambutan yang diberikan penduduk Kuching dalam program ilmu seperti ini telah berjaya menarik sebahagian besar golongan belia terutama anak-anak muda untuk terlibat secara langsung dalam program keagamaan seperti ini.-KLXPress

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.