25
Ahd, Okt

MUSIM BUBUK ATAU UDANG GERAGAU DI UTARA SARAWAK TARIK PENGUNJUNG

Sarawak
Typography

MIRI – Bahagian Utara Sarawak kini dilanda musim bubuk atau udang geragau yang boleh didapati di sepanjang jalan Bintulu dan Miri.

Menjadi kebiasaan setiap awal tahun, kedua-dua bahagian di Utara Sarawak ini seolah-olah pesta bagi para nelayan untuk menambah hasil pendapatan dengan menangkap bubuk atau udang geragau ini.

Lazimnya, bubuk atau udang geragau ini dijual sekitar RM3 hingga RM5 bagi sekilogram dengan setiap nelayan boleh memperoleh tangkapan sebanyak 100 kilo sehari.

Bubuk atau udang geragau ini sesuai dibuat belacan, cencaluk atau dimasak kering bersama serai selain dibuat cucur bagi minum petang.

Di Sarawak, kebiasaannya isteri nelayan akan menjual bubuk atau udang geragau ini secara mentah dan sebahagian lagi akan dibuat belacan atau cencaluk.

Belacan Bintulu dan Miri sangat terkenal di Sarawak dan Brunei dengan mempunyai peminatnya sendiri hingga membuatkan permintaannya meningkat setiap tahun.

Selain pasaran tempatan dan Brunei, belacan Bintulu dan Miri ini juga mendapat permintaan daripada penduduk di Semenanjung Malaysia.

Menurut Mislah, salah seorang pengusaha belacan Bintulu, keistimewaan belacan Bintulu ini disebabkan rasanya yang tidak begitu masin dan baunya juga tidak terlalu kuat.

Jelasnya, bukan mahu memuji, tetapi Mislah sering mendapat tempahan belacan dari orang Semenanjung.

“Bagi yang pernah merasai belacan Bintulu, mereka dapat membezakannya dengan belacan dari Semenanjung. “Jika ada orang luar yang datang ke sini, antara kemestian yang mereka beli adalah belacan Bintulu,” katanya yang merupakan pengusaha tetap belacan Bintulu.

Selain belacan, cencaluk Bintulu dan Miri juga mendapat perhatian daripada penduduk tempatan dan Brunei yang kebiasannya datang terus untuk mendapatkan bekalan cencaluk. -KLXPress

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.