31
Sab, Okt

NAJIB RAZAK RASMI UTC SARAWAK DENGAN PENUH MERIAH

Sarawak
Typography

KUCHING – Selepas lima bulan Urban Transformatiion Centre (UTC) yang terletak di Bukit Mata, Kuching ini siap dan telah digunakan sejak Disember tahun lepas akhirnya hari ini (malam ini) ia telah dirasmikan dengan meriah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“Penubuhan UTC ini mempunyai falsafahnya sendiri selaras dengan keperluan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

“Kejayaan mengumpulkan 47 jabatan dan agensi serta perniagaan lain di satu bangunan ini sebenarnya telah memudahkan orang ramai berurusan dalam satu-satu masa,” katanya ketika merasmikan bangunan UTC Sarawak di sini, malam tadi yang dihadiri kira-kira 3,000 orang.

Sehingga hari ini, bangunan UTC yang bernilai RM48.5 juta itu telah menerima kehadiran lebih 260,000 orang pengunjung sejak mula beroperasi Disember lepas.

Apa yang menariknya di UTC Sarawak ialah adanya Childcare Centre yang mendapat sambutan hangat di kalangan warga Kuching.

Sementara itu, Ketua Menteri Sarawak, datuk patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem dalam ucapannya merakam setinggi ucapan terima kasih di atas keprihatinan kerajaan pusat dalam menyediakan UTC ini untuk kesenangan rakyat Sarawak.

“Sememangnya idea Perdana Menteri ini sautu yang sangat baik dan Kerajaan Negeri Sarawak sangat menyokongnya kerana telah memudahkan rakyat berurusan dengan jabatan/agensi kerajaan dengan mudah dan mesra pelanggan.

“Sekiranya boleh, UTC seumpama ini dapat ditambah dan diwujudkan di beberapa kawasan lain di Sarawak memandangkan keluasannya yang besar,” sambil mendapat tepukan gemuruh daripada hadirin yang hadir.

Menurut Perdana Menteri, pembinaan UTC ini buat masa kini masih di peringkat fasa satu bagi membolehkan setiap negeri akan mempunyai UTC. Sebaik sahaja selepas itu, bahartulah ia akan diperluaskan di kawasan atau daerah lain seperti mana yang diperkatakan Adenan Satem.

Sementara itu, para pengunjung yang ditemui menyatakan kemudahan UTC ini telah banyak memberikan manfaat kepada rakyat terutama yang melibatkan perkhidmatan kerajaan seperti memperbaharui lesen, membuat kad pengenalan dan pasport serta bermacam lagi perkhidmatan untuk rakyat.

Perdana Menteri turut mengumumkan seramai 200 orang Pengerusi JKKK di Sarawak akan dipilih bagi mengikuti kursus haji pada tahun ini menerusi pembiayaan 1MDB.

Hadir sama di majlis itu, Timbalan Ketua Menteri Sarawak YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Alfred Jabu anak Numpang serta isteri, Menteri Perumahan dan Pelancongan Negeri Sarawak, YB Datuk Amar Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Abang Haji Openg, Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber, YB Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dan beberapa pemimpin tertinggi Kerajaan Negeri Sarawak dan Kerajaan Pusat.

Majlis tersebut turut diserikan lagi dengan nyanyian yang terdiri daripada artis tempatan Sarawak, Dayang Nurfaizah, Bob AF, Kumpulan Zero yang memenangi Maharaja Lawak Mega dan persembahan tarian daripada artis-artis daripada Jabatan Kebudayaan Kesenian Negara (JKKKN) dan Kementerian Pembangunan Sosial Sarawak. -KLXPress

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.