23
Jum, Okt

PELAKSANAAN GST BUKAN ALASAN UNTUK MENAIKKAN HARGA BARANG

Sarawak
Typography

SARIKEI - Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan mengingatkan semua peniaga supaya tidak menjadikan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang akan dikuatkuasakan pada 1 April akan datang sebagai alasan untuk menaikkan harga barang.

Alasan itu tidak tepat dan bertentangan dengan konsep serta sebab utama GST itu dilaksanakan.

“Jika kita memahami secara mendalam mengenai GST, sebanyak lebih 900 barangan yang terdiri daripada barang keperluan harian tidak dikenakan GST,” katanya dalam Majlis Penerangan GST, Bajet 2015 dan Isu Bersama Datuk Ahmad Maslan di Dewan Suarah Sarikei di sini, semalam.

Majlis dihadiri oleh sekitar 700 orang yang terdiri daripada ketua masyarakat, wakil jabatan kerajaan serta masyarakat setempat.

Turut sama hadir Ahli Parlimen Tanjung Manis, Datuk Norah Tun Abdul Rahman, Ahli Parlimen Julau, Datuk Joseph Salang Gandum dan Residen Bahagian Sarikei, Dahim Nadot.

Menurut Ahmad, antara barang dan perkhidmatan yang tidak dikenakan GST ialah makanan asas seperti beras, gula, tepung dan minyak masak, pembelian dan penyewaan rumah kediaman, jual beli tanah pertanian, pendidikan, pengangkutan awam dan perkhidmatan kesihatan.

“Walaupun GST telah dilaksanakan nanti, nilai atau harga kepada semua barang tersenarai seharusnya tidak naik.

“Sekiranya terdapat kenaikan harga, kita boleh simpulkan bahawa peniaga manipulasikan pelaksanaan GST,” katanya.

Sekiranya terdapat mana-mana peniaga bertindak manipulasi GST dengan menaikkan harga barangan, pengguna boleh bertindak dengan melaporkan kepada pihak berkuasa atau menggunakan hak 3M (memilih, melapor dan memboikot) sebagai seorang pengguna.

“Pengguna harus ingat, GST ialah cukai kepenggunaan yang dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di semua peringkat perniagaan. Cukai tersebut dibayar apabila pengguna berbelanja.

“GST bukan cukai baharu sebaliknya merupakan gantian kepada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (CJP) yang sedia ada yang mempunyai kelemahan serta menyukarkan aspek pentadbiran cukai.

“Kadar GST sebanyak enam peratus yang bakal diperkenalkan adalah yang terendah jika dibandingkan negara ASEAN lain yang telah lama melaksanakan cukai GST,” ujar Ahmad.

Selepas 1 April nanti, Malaysia merupakan antara 161 negara di dunia dan merupakan negara ke-8 di Asia Tenggara yang menggunapakai GST dalam sistem ekonominya. -KLXPress