31
Sab, Okt

ADENAN SATEM: SAYA KETUA MENTERI SARAWAK UNTUK SEMUA KAUM

Sarawak
Typography

LUNDU - Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem berikrar untuk terus berlaku adil kepada semua rakyat Sarawak, tanpa mengira kaum atau latar belakang selagi memegang tampuk pemerintahan negeri ini.

“Saya adalah Ketua Menteri Sarawak. Saya bukan Ketua Menteri kaum Melayu sahaja, saya bukan Ketua Menteri kaum Cina sahaja, saya bukan Ketua Menteri kaum Iban sahaja, saya bukan Ketua Menteri kaum Bidayuh sahaja atau Orang Ulu sahaja tetapi untuk semua bangsa termasuk pembangkang… itu pun jika mereka mahu mengakuinya”, katanya sambil diberikan tepukan gemuruh daripada tetamu yang hadir.

Ini merupakan pendekatan yang pertama sekali diterapkan sejak mengambil alih jawatan Ketua Menteri 28 Februari 2014.

“Perkara ini sentiasa berada dalam polisi saya sejak dari awal lagi,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat sempena Tahun Baharu Cina di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Lundu di sini, semalam.

Hadir sama, isterinya Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Datuk Dr Sim Kui Hian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.1 Tasik Biru Datuk Peteri Nansian, ADUN N.2 Opar Ranum Mina dan Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Haji Bujang Helmi.

Adenan turut melahirkan rasa gembira dan tersentuh hati apabila melihat sokongan padu yang diberikan kepadanya sepanjang setahun beliau memegang jawatan sebagai Ketua Menteri Sarawak.

“Saya amat berterima kasih kepada anda semua yang terus menyokong saya tanpa mengira kaum dan agama.

“Kita perlu terus bekerja bersama-sama. Bukan bekerja untuk saya tetapi sama-sama bekerja,” katanya.

Beliau turut mengumumkan peruntukan RM1 juta untuk menambah baik dewan serba guna sekolah tersebut selain geran RM770,000 untuk dibahagikan lima buah sekolah.

Sekolah-sekolah itu adalah SJK Chung Hua Serayan yang menerima RM110,000, SJK Chung Hua Lundu (RM165,000), Prasekolah Chung Hua Lundu (RM200,000) SJK Chung Hua Buntal (RM166,000) dan SJK Chung Hua Sematan (RM109,000).

“Saya tidak akan berhenti setakat ini sahaja tetapi akan membantu kuil, surau, tokong, gereja di seluruh kawasan Tanjung Datu… jika (peruntukan) tidak cukup, anda minta lagi dengan saya,” katanya.

Adenan turut memberi jaminan bahawa kaum Cina akan terus diiktiraf sebagai rakyat negeri ini selagi beliau masih memegang jawatan Ketua Menteri Sarawak.

Sambil menyelar individu yang menggelar kaum tersebut sebagai pendatang, beliau menambah, tindakan itu tidak berasas sama sekali memandangkan masyarakat Cina telah lama menetap di Sarawak dari satu generasi ke satu generasi.

Beliau turut menyuarakan cadangan untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) namun ia masih di peringkat awal rundingan dan memerlukan masa.

“Ini masih di peringkat awal rundingan, belum ada keputusan lagi,” jelasnya.

Dianggarkan kira-kira 4,000 tetamu hadir di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Tahun Baharu Cina itu dengan terdiri daripada pelbagai kaum dan budaya dengan disajikan persembahan kebudayaan masyarakat Cina. -KLXPress

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.