25
Ahd, Okt

SPR TERIMA 41 BANTAHAN PERSEMPADANAN SEMULA BAHAGIAN PILIHAN RAYA NEGERI SARAWAK

Sarawak
Typography

MIRI - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah menerima sebanyak 41 bantahan sepanjang dua minggu sesi siasatan tempatan terhadap bantahan syor persempadanan semula bahagian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Jumlah bantahan diterima mengikut bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) ialah N.11 Batu Lintang (1), N.13 Batu Kawah (2), N.16 Bengoh (2), P.199 Serian (3), N.18 Tebedu (1), N.19 Kedup (2), P.200 Batang Sadong (1), N.21 Simunjan (3) dan P.201 Batang Lupar (1).

Ini termasuk bantahan untuk kawasan N.34 Krian (1), P.206 Tanjung Manis (1), P.212 Sibu (1), N.49 Nangka (1), P.213 Mukah (1), N.53 Kakus (1), N.54 Pelagus (2). N. 56 Baleh (1), N.57 Belaga (3), N.60 Kemena (3), P.218 Sibuti (1), N.56 Senadin, N.66 Marudi dan N.67 Telang Usan masing-masing tiga bantahan.

Pengerusi SPR Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam kenyataan media semalam memberitahu, bantahan itu diterima daripada 64 wakil bantahan daripada kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Manakala lebih seratus kategori orang awam yang nama mereka ditunjuk dalam daftar pemilih semasa bagi bahagian pilihan raya turut diterima,” katanya.

Beliau memberitahu, bantahan itu memenuhi syarat mengikut undang-undang dan diterima oleh SPR.

“SPR berpuas hati dengan setiap wakil bantahan dan penjelasan dikemuka semua pembantah semasa pendengaran dilakukan. SPR akan meneliti setiap bantahan yang dikemuka secara bertulis dan lisan.

"SPR akan mempertimbang setiap bantahan secara adil dan saksama sejajar undang-undang menambah baik dalam Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri Sarawak,” katanya.

Abdul Aziz berkata, keputusan siasatan tempatan ini akan diumum semasa sesi pameran dan bantahan kali kedua menerusi notis yang akan disiar dalam akhbar tempatan termasuk laman sosial portal rasmi SPR.

Sementara itu, siasatan tempatan ini berlangsung selama dua minggu bermula 23 Februari lalu dan berakhir 6 Mac di sepuluh lokasi seluruh Sarawak.

Sumber: Utusan Borneo

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.