25
Ahd, Okt

SABERKAS ACUAN TERBAIK ERATKAN HUBUNGAN BELIA CINA DAN KEBUDAYAAN MASYARAKAT

Sarawak
Typography

BEKENU - Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS) adalah acuan terbaik bagi mengeratkan hubungan belia Cina dengan kebudayaan masyarakat tempatan.

Presiden SABERKAS Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata SABERKAS kini mengamalkan pendekatan terbaru bagi menarik minat masyarakat Cina menyertai pertubuhan itu.

“SABERKAS telah berjaya melatih kepimpinan belia-belia Cina supaya mereka kenal kebudayaan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak seperti mana kita kenal budaya mereka,” katanya pada Majlis Pelancaran Unit-Unit SABERKAS Cawangan Bekenu dan Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina 2015 di Bekenu semalam.

Masyarakat Cina bukanlah pendatang sebaliknya mereka juga memainkan peranan penting memperkasa kemajuan Sarawak seperti yang sering diperkatakan Ketua Menteri Sarawak.

“Apabila kita mendedahkan peranan masyarakat Cina dalam SABERKAS, mereka akan menunjukkan minat dan memahami fungsi belia dalam mempertahan perpaduan,” jelasnya.

“Peranan SABERKAS kini ialah mempertahankan perpaduan, menambah nilai hidup masyarakat dan memperolehi ilmu-ilmu baharu yang bermanfaat untuk kepentingan bersama semua masyarakat.

Menurutnya, Sarawak kini mempunyai 71 Cawangan SABERKAS dan paling menarik kawasan majoriti masyarakat Cina juga menyertai SABERKAS yang mana merupakan pendekatan yang sangat diterima kaum Cina.

“Inilah perkara asas yang penting dalam SABERKAS iaitu kita bekerjasama antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan kaum terutamanya dalam hal-hal memajukan belia Sarawak,” ujarnya dengan penuh harapan.

Abang Johari menambah, meskipun kepimpinan SABERKAS beralih tangan namun fungsi dan peranannya juga berubah mengikut keperluan dan perkembangan semasa sejajar dengan tuntutan semasa.

“Jika dahulu SABERKAS menitikberatkan pendidikan, namun hari ini ia tetap diutamakan tetapi ditambah baik iaitu bidang teknikal yang turut diberi tumpuan,” katanya.

Sejumlah sembilan unit SABERKAS dilancarkan semalam iaitu Unit Bakas, Unit Batu Niah, Unit Bekenu, Unit Bungai, Unit Kelulit, Unit Angus Ria, Unit Saeh, Unit Selanyau dan Unik Sepupok.

Hadir sama Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-Kanak yang juga Pengerusi SABERKAS Bekenu Rosey Yunus, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Air) Datuk Sylvester Entri dan Setiausaha Agung SABERKAS Sarawak, Dr Abdul Rahman Junaidi.- KLXPress

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.