31
Sab, Okt

POLISI ADENAN BANTERAS PEMBALAKAN HARAM DI SARAWAK KINI BERJAYA

Sarawak
Typography

KUCHING - Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem semalam memaklumkan bahawa operasi pembalakan haram yang telah dilaksanakan di seluruh negeri ini telah membuahkan kejayaan.

Menurutnya, kejayaan tersebut merupakan hasil usaha semua pihak termasuk Sarawak Forestry Corporation (SFC) bersama agensi penguatkuasaan yang menerajui dan membanteras kegiatan tersebut.

“Saya ingin memaklumkan kepada pemimpin terdahulu kita (Tun Taib) bahawa usaha membanteras pembalakan haram di negeri ini kini berada di tahap yang berjaya.

“Walaupun keputusan dan hasil kejayaan ini di luar jangkaan kita, namun kita masih belum berpuas hati sehingga setiap kawasan pembalakan haram di negeri ini diserbu dan dihentikan,” katanya.

Sebelum ini isu pembalakan haram menjadi buah mulut penduduk khususnya di kawasan luar bandar yang terkesan dengan pembalakan haram ini.

Selain rakyat, kerajaan juga terkesan dengan pembalakan haram yang banyak merugikan kerajaan khususnya dalam sumber pendapatan kerajaan negeri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penghargaan kepada bekas Pengerusi SFC Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Hotel Imperial di sini, malam kelmarin.

Jelasnya, sekiranya kita tidak mengambil langkah dari sekarang dan berterusan pasti hutan akan tiada lagi, yang juga merupakan tempat hidupan liar seperti orang utan tinggal.

Justeru, Adenan memaklumkan bahawa pada April depan, kerajaan akan memperkenalkan perundangan baharu bagi mengukuhkan akta dan ordinan bagi meningkatkan usaha membanteras pembalakan haram.

Dalam pada itu, Adenan berkata kerjasama masyarakat awam termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) amat penting dalam mengatasi masalah pembalakan haram di negeri ini.

“Kita sangat gembira kerana tindakan positif diterima daripada masyarakat yang telah membuat laporan setiap hari kepada kita sebaik sahaja mengetahui kerajaan kini serius menangani pembalakan haram.

“Mereka tidak seperti dahulu, telah berani melaporkan perkara berkaitan pembalakan haram ini.

“Keadaan ini disebabkan mereka tahu dan mempercayai bahawa kita tegas dalam menangani isu ini dan kita akan siasat setiap laporan yang diberikan kepada kita ini.

“Begitu juga dengan pihak NGO, kita berharap mereka dapat membantu kita dan bukannya hanya menyalahkan kerajaan sahaja,” ujarnya

Pengerusi SFC Datu Dr Yusoff Hanifah memberitahu, sehingga kini dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini pihaknya telah berjaya merampas lebih 2,300 kayu balak haram dengan harga pasaran bernilai lebih RM2 juta.

“Ketua Menteri telah membuat keputusan tepat untuk tidak lagi mengeluarkan atau memperbaharui lesen pembalakan dalam usaha mencegah pembalakan haram.

“Pembekuan ini sudah tentu dapat membantu kami membendung gejala dalam masyarakat kita. -KLXPress

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.