31
Sab, Okt

CADANGAN LANJUTKAN UMUR PERSARAAN CEUPACS DIBANTAH

Sarawak
Typography

KUCHING - Cadangan lanjutan umur persaraan penjawat awam daripada 60 kepada 62 tahun seperti yang dicadangkan CUEPACS sebelum ini telah mendapat bantahan daripada penjawat awam pelbagai jabatan dan agensi di negeri ini.

Temu bual bersama beberapa penjawat awam baru-baru ini mendapati sebahagian besar daripada mereka tidak bersetuju dengan lanjutan umur persaraan ini.

Menurut mereka, lanjutan usia persaraan seperti yang dicadangkan CEUPACS itu akan menyekat peluang golongan muda untuk menikmati kenaikan pangkat dan sebagainya dalam sektor perkhidmatan awam.

“Bagi saya, umur persaraan 60 tahun sudah cukup lama dan sepanjang tempoh itu kami sebagai penjawat awam tiada masa untuk berehat bersama keluarga.

“Jika umur persaraan dilanjutkan lagi kepada 62 tahun bagi saya ia hanya akan menyekat peluang golongan muda untuk kenaikan pangkat dan menyekat masa pesara untuk menikmati kehidupan bersama keluarga,” ujar Alex Josh yang merupakan seorang penjawat awam.

Seorang lagi penjawat awam yang ditemu bual, Christie Panting turut bersependapat dengan Alex bahawa lanjutan usia persaraan adalah tidak wajar dan menyekat golongan muda untuk mendapatkan pekerjaan.

Menurut Christie, jika dilihat dari sudut kesihatan, kebanyakan rakyat Asia sudah tidak mampu menanggung beban kerja yang berat pada usia 60 tahun kerana umur itu sudah melebihi separuh abad.

Apatah lagi bagi mereka yang bekerja berpanas dan berhujan, yang pastinya usia 60 tahun itu sudah terlalu lanjut untuk mereka memikul tugas berat seperti ini.

“Bagi mereka yang hanya duduk di pejabat, usia 62 tahun mungkin bukan satu masalah bagi mereka. Tetapi bagaimana dengan mereka yang bekerja di luar pejabat? Mampukah mereka?,” soalnya.

Presiden CUEPACS Datuk Azih Muda sebelum ini mencadangkan kepada kerajaan agar melanjutkan umur persaraan penjawat awam daripada 60 kepada 62 tahun.

Jelas beliau, kebanyakan negara di Asia seperti Thailand, Singapura, Sri Lanka, negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat telah melanjutkan usia persaraan kepada 65 tahun.

Dan, sebagai negara yang menuju status negara maju, Malaysia katanya harus mengambil langkah yang sama. -KLXPress

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.