23
Jum, Okt

TIADA JALAN PINTAS UNTUK BANGUNKAN KAWASAN LUAR BANDAR

Sarawak
Typography

MIRI – Tiada jalan pintas untuk membangunkan sesebuah kawasan luar bandar melainkan dengan perancangan dan komitmen sesebuah kerajaan yang telah dipertanggungjawabkan dan prihatin kepada rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dennis Ngau berkata jika pelan pembangunan terganggu atau tergendala atas sebab-sebab remeh rakyat tidak boleh menyalahkan kerajaan atas kelewatannya.

“Jangan salahkan kerajaan jika sesuatu projek atau pelan pembangunan tergendala atau terganggu oleh sebab penduduk sendiri tidak menyokong sesuatu rancangan yang dirancangkan.

Menurutnya, kerajaan membuat perancangan pembangunan bersistematik dan terancang di seluruh negeri serta tahu bagaimana cara menggunakan sumber semula jadi terbaik bagi sesuatu kawasan untuk manfaat semua.

“Bagi Telang Usan, sungainya dikesan menjadi salah satu sumber asli terbaik dan bakal membantu perancangan pembangunan ditukarkan kepada sumber jana kuasa,” jelasnya.

Katanya, perancangan Empangan Hidroelektrik Baram adalah salah satu cara kerajaan membawa peluang pekerjaan dan penjanaan ekonomi ke kawasan Telang Usan dan Baram secara keseluruhannya.

Beliau meminta rakyat dan penduduk sekitar Telang Usan, Long Lama dan Baram memberi kepercayaan penuh kepada kerajaan merealisasikan pembangunan secara keseluruhan.

Dennis percaya bahawa perancangan dilakukan kerajaan adalah ke arah membawa negeri ini paling maju dan terkaya di Malaysia menjelang tahun 2030.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sejumlah RM10,000 kepada PCHLL bagi membolehkan mereka menganjurkan program peringkat negeri pada November nanti.

Beliau berkata demikian dalam majlis Pesta Angpau 2015 anjuran Persatuan Chung Hua Long Lama (PCHLL) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tee Long Lama dihadiri sekitar 300 orang.

 Hadir sama Setiausaha Politik Ketua Menteri Robert Laing Anyie, Pegawai Daerah Kecil Long Lama Louis Micheal Balau, Pengerusi Penganjur, Kapitan Yeo Kee Siang dan Pengerusi PCHLL, Yap Ho Bok. –KLXPress