25
Ahd, Okt

KERAJAAN NEGERI SARAWAK AKUR WUJUDKAN SEKOLAH INDONESIA

Sarawak
Typography

KUCHING – Setiap kanak-kanak di dunia ini mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik di mana saja dan atas sebab itu kerajaan Sarawak akur dengan keputusan mewujudkan Sekolah Indonesia kepada anak-anak pekerja negara itu di negeri ini.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, selain Sabah, Sarawak merupakan negeri kedua menerima permohonan daripada Indonesia bagi menubuhkan sekolah berkenaan di negara ini.

“Pada mesyuarat kebinet Mac lalu, Perdana Menteri telah menyentuh mengenai perkara ini, serta persetujuannya dengan Presiden Indonesia sendiri.

“Disebabkan pendidikan di bawah bidang kuasa Persekutuan, manakala Perdana Menteri juga telah bersetuju maka kita akur kepada perkara tersebut,” ujarnya.

Bagaimanapun, kos pembinaan Sekolah Indonesia itu ditanggung sendiri oleh kerajaan Indonesia dan tidak melibatkan peruntukan kerajaan negara ini seperti didakwa sesetengah pihak dalam laman sosial.

Malah, katanya, pihaknya juga percaya syarikat-syarikat dalam sektor perladangan melalui CSR mereka sendiri akan membantu dari segi mewujudkan premis anak-anak belajar.

“Kerajaan Indonesia memohon anak-anak pekerja ladang mendapat peluang pendidikan supaya mereka tidak ketinggalan dan apabila mereka pulang ke negara sendiri mereka tidak jauh ketinggalan.

“Selain itu, konsep sekolah ini adalah di mana gurunya, sukatan pelajaran dan kokurikumnya adalah dari Indonesia sepenuhnya,” ujarnya.

Sementara itu, Fatimah melahirkan harapan kepada kerajaan agar disediakan elemen kawalan supaya tidak mendatangkan kemudaratan sosial kepada negeri kita pada masa hadapan.

“Apabila kelulusan telah dibuat oleh kerajaan negeri, proses perasmian akan dilaksanakan bagi memastikannya formal dan menjadi entiti yang sah.

“Kita akan pastikan mereka didaftarkan dengan betul kerana melaluinya pemantauan lebih mudah dibuat seperti lokasi, bilangan guru serta murid yang ada,” ujarnya.

Terdahulu, Fatimah ketika merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Menengah (MSSM) Bahagian Kuching Ke-51 di Padang Jubilee di sini, petang semalam. -KLXPress

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.