23
Jum, Okt

SK BUMIPUTERA TERIMA PERUNTUKAN SEBANYAK RM1 JUTA DARIPADA KETUA MENTERI SARAWAK

Sarawak
Typography

LUNDU: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan Haji Satem meluluskan peruntukan berjumlah RM1 juta bagi tujuan pembinaan dewan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bumiputera dekat sini.

Ketika melawat sekolah itu semalam, Adenan telah menyampaikan berita gembira itu kepada Guru Besar SK Bumiputera, Annuar Lai dan disaksikan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bumiputera Abdul Razak Abdul Wahab.

Abdul Razak ketika ditemui selepas lawatan itu berkata, Ketua Menteri telah memberi respons positif dan bersetuju dengan peruntukan untuk pembinaan dewan tersebut.

“Kita bersyukur kerana kunjungan Ketua Menteri kali ini membawa berita menggembirakan seluruh warga sekolah.

“Dewan sekolah ini amat diperlukan pelajar terutama bagi menjalankan aktiviti tertentu seperti bersukan atau perhimpunan,” katanya.

Manakala Annuar turut melahirkan rasa gembira dengan perkara itu berkata, dewan tersebut amat diperlukan untuk memudahkan sebarang aktiviti dijalankan.

“Dengan adanya dewan sekolah ini juga akan membolehkan pelbagai aktiviti dalaman sekolah diadakan tanpa perlu risau mengenai keadaan cuaca ketika hujan.

Selain pembinaan dewan katanya, SK Bumiputera turut menerima peruntukan RM1 juta untuk pembinaan sebuah blok baharu yang menempatkan bilik pejabat dan bilik Sains.

“Pada masa ini bilik pejabat dan bilik Sains terpaksa berkongsi bilik yang sama. Apabila projek ini siap nanti, sekolah ini akan mempunyai bilik pejabat dan bilik Sains berasingan,” ujarnya.

Annuar menambah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah meluluskan peruntukan berjumlah RM200,000 untuk pembinaan blok baharu untuk menempatkan pelajar pendidikan khas.

“Sekarang pelajar pendidikan khas terpaksa berkongsi bilik lain,” jelasnya.

Projek bermula November tahun lepas dijangka siap sepenuhnya pada April depan. -KLXPress