23
Jum, Okt

‘GIVE ME A CHANCE’ KATA KETUA MENTERI SARAWAK

Sarawak
Typography

KUCHING – Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menyokong dan memperkenalkan slogan ‘Give me a chance’ dan akan berusaha mendapatkan mandat tersebut daripada rakyat negeri ini, kata Timbalan Presidennya Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

“Ini adalah slogan Ketua Menteri Sarawak yang diperkenalkan Presiden PBB dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan kami di belakangnya akan berusaha mendapatkan mandat ini daripada rakyat untuk beliau supaya dapat membawa negeri ke arah yang lebih baik.

Menurut Abang Johari, slogan Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem itu berkehendakkan rakyat memberi beliau mandat bagi meneruskan usaha-usaha dan dasar-dasar yang difikirkannya untuk membangunkan Sarawak.

Adenan Satem dalam rancangan khas Bersama Ketua Menteri Sarawak dan Temu Bual Khas Bersama Ketua Menteri Sarawak bersempena dengan setahun pentadbirannya sebagai Ketua Menteri Sarawak telah beberapa kali mengulangi pendirian bahawa masih banyak polisi yang akan dilaksanakan dan dirancang bagi membangunkan Sarawak.

Selain itu, katanya ia turut menekankan dan memberikan pembangunan yang luas kepada masyarakat terutama di luar bandar.

“Beliau (Adenan) mempunyai polisi sendiri dan beliau memerlukan orang ramai memberikannya peluang untuk memenuhi polisinya.

“Itulah sebabnya kami berkehendakkan rakyat supaya bersama-sama dengan Ketua Menteri dalam masa lima tahun akan datang,” katanya.

Adenan semasa menjawab soalan tentang slogan yang akan diketengahkan dalam menghadapi pilihan raya negeri akan datang berkata ‘Give me a chance’ sebagai slogannya dan beliau memerlukan sekurang-kurangnya beberapa tahun untuk mencapai kejayaan yang beliau impikan buat Sarawak.

Beliau bagaimanapun mengakui tidak dapat melakukannya seorang diri tanpa kerjasama seluruh penduduk negeri ini.

“Jadi ‘Give me a chance’, itulah slogannya… beri saya peluang, saya harap memperoleh mandat daripada rakyat untuk meneruskannya,” katanya.

Kempen Pilihan Raya Negeri kini semakin ketara memandangkan tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) semasa tamat pada 20 Jun 2016. -KLXPress