23
Jum, Okt

SPESIS PENYU HIJAU YANG TERANCAM BERJAYA DISELAMATKAN DI BINTULU

Sarawak
Typography

BINTULU - Seekor penyu hijau atau dengan nama sainstifiknya Chelonia Mydas yang tersangkut dalam jaring nelayan di sini baru-baru ini telah berjaya diselamatkan dan dilepaskan semula ke laut di Taman Negara Similajau.

Menurut kenyataan daripada Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Forestry Corporation (SFC), penyu tersebut yang masih remaja, dengan ukuran 42cm panjang dan 36cm lebar terselamat dan berjaya dilepaskan semula ke habibat asalnya untuk meneruskan kehidupan.

Penyu hijau merupakan antara spesies yang paling terancam di dunia disebabkan kadar pembiakannya yang perlahan, selain mendapat permintaan tinggi bagi daging dan telurnya yang sangat berharga.

Oleh itu, penyu hijau ini dilindungi sepenuhnya di Sarawak dan sungguh tepat dengan usaha SFC mengelak kejadian seperti itu berlaku melalui pelancaran ‘MLNG Sarawak Forestry Beacon Reef Ball Project’.

Melalui projek ini, lebih 1,000 bebola terumbu telah diletakkan di perairan Similajau, dengan 500 lagi akan diletakkan tahun ini.

Bebola terumbu ini dapat melindungi penyu dan hidupan laut yang lain dengan memusnahkan pukat, selain menghalang kapal pukat tunda daripada menceroboh ke dalam habitat mereka.

Bukan itu sahaja, SFC turut melaksanakan ‘Sea Turtles Adoption and Conservation Program’, bermatlamat memberi kesedaran dalam kalangan masyarakat awam tentang kepentingan pemuliharaan penyu.

Program ini juga menawarkan sukarelawan perkongsian pengalaman dalam kerja-kerja pemuliharaan penyu seperti di Pulau Penyu Sarawak, Taman Negara Talang Satang oleh pakar. -KLXPress