23
Jum, Okt

HUTANG PENYUMBANG BESAR KEGOYAHAN KEPADA INSTITUSI KELUARGA

Sarawak
Typography

PUSA – Permasalahan hutang keliling pinggang di kalangan masyarakat merupakan penyumbang terbesar kepada kegoyahan sesebuah institusi keluarga.

Ini adalah berdasarkan kepada kajian di bawah Indeks Keluarga Bahagia (IKB) yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri rohani Abdul Karim berkata hasil kajian di bawah kajian graf yang melibatkan 5,000 responden di Malaysia menggambarkan amalan berhutang memperlihatkan masalah paling tinggi dan menjadi cabaran yang perlu diatasi agar selari dengan sasaran mengukuhkan keluarga bahagia.

“Rujukan statistik IKB yang diperolehi pada tahun 2011 sebagai penanda aras kesejahteraan keluarga di negara ini telah mencatat skor IKB 7.55 berbanding 8.0 disasarkan pada 2020.

“Pada tahun ini, kita menilai perbandingan IKB untuk melihat keberkesanan program dilaksanakan,” katanya ketika mengulas berhubung pelaksanaan program selepas pelancaran Jelajah Keluarga Bahagia 2015 Peringkat Kebangsaan di Terminal Bas Pusa di sini, kelmarin.

Tambahnya, daripada tujuh domain yang menjadi rujukan, mendapati kerohanian iaitu keluarga dan agama mencatat nilai tertinggi sehingga 8.25.

“Penilaian kekeluargaan dan komuniti turut melepasi 7.83, hubungan dan kekeluargaan 7.62, keselamatan keluarga mencatat 7.39, kesihatan keluarga 7.38, perumahan dan persekitaran 7.28 dan ekonomi keluarga menyumbang 6.90.

“Perbandingan ini dikira sebagai skor dikaji penilaian semasa membentuk kesejahteraan keluarga dan kebahagiaan hubungan kekeluargaan.

1510584_899759576732802_3421474348906056999_n“Dalam pada itu, nilaian skor IKB menekankan aspek ekonomi keluarga sebagai aras yang perlu dipertingkatkan dan trend berhutang banyak menyumbang kepada keretakan hubungan kekeluargaan yang harus dihindari dan diatasi setiap individu.

“Keadaan ini dilihat amat membimbangkan dan perlu kita mencari jalan penyelesaian yang mudah dan berkesan.

“Amalan perkongsian sihat dalam hubungan rumah tangga amat perlu bagi membentuk keluarga bahagia dan bijak menguruskan kewangan merupakan kunci kesejahteraan keluarga,” katanya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razali Gapor, Timbalan Ketua Setiausaha KPWKM Datuk Norsham Rahin, Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Datuk Mariam Mas Yacob, Ketua Pengarah LPPKN Datuk Siti Norsiah Ismail, Timbalan Residen Bahagian Betong Sebi Abang, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta ketua-ketua jabatan dan masyarakat. –KLXPress