23
Jum, Okt

ADENAN NEKAD TIDAK AKAN HENTIKAN RUNDINGAN KENAIKAN ROYALTI MINYAK DAN GAS SARAWAK

Sarawak
Typography

KUCHING - Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem memberi jaminan bahawa kerajaan negeri tidak akan menghentikan rundingan untuk mendapatkan kenaikan royalti minyak dan gas sehingga keputusan positif diperolehi.

Beliau berkata, tuntutan itu wajar kerana rakyat Sarawak berhak menikmati wang hasil bumi itu untuk meningkatkan taraf hidup setanding dengan penduduk di negeri-negeri lain.

Bagaimanapun katanya, beliau tidak mampu untuk mendesak Kerajaan Pusat supaya mempertimbangkan kenaikan royalti daripada lima peratus kepada 20 peratus itu tanpa sokongan padu rakyat.

"Sokongan yang saya maksudkan bukan hanya pada waktu pilihan raya sahaja, tetapi sokongan ini sepanjang masa terutamanya dalam isu tuntutan royalti ini.

"Dengan adanya sokongan padu daripada segenap lapisan rakyat tanpa mengira fahaman politik, suara saya akan lebih didengari oleh Kerajaan Pusat dan PETRONAS," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Pekebun Kecil dan Usahawan Komoditi Kebangsaan, di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalannya, Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Adenan berkata, Sarawak menuntut kenaikan royalti itu untuk memastikan kemudahan infrastruktur yang lebih sempurna dapat disediakan untuk rakyat.

"Kita mengutamakan penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air untuk rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

"Selepas semua kemudahan itu disediakan di semua kawasan luar bandar, barulah kita memikirkan pembangunan yang lain. Kemudahan infrastruktur ini dapat kita sediakan dengan lebih baik jika kita mendapat penambahan royalti minyak dan gas," katanya.

Katanya lagi, apabila pembangunan infrastuktur antara luar bandar dan bandar diseimbangkan, hasrat untuk mengurangkan penghijrahan penduduk akan dapat dikurangkan.

"Penghijrahan penduduk dari luar bandar berlaku kerana mereka mahu mencari peluang kehidupan yang lebih baik di bandar.

"Sebab itu saya merayu supaya diberi peluang kerana dengan mandat serta sokongan saya akan lebih keupayaan untuk memantapkan pembangunan negeri selain meneruskan rundingan dengan PETRONAS " katanya.