27
Sel, Okt

MASYARAKAT CINA BERTERIMA KASIH ATAS USAHA KETUA MENTERI SARAWAK BANGUNKAN PENDIDIKAN CINA

Sarawak
Typography

SIBU - Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurusan Sekolah Cina Sarawak telah melahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri Sarawak atas keprihatinan terhadap pembangunan pendidikan Cina di Sarawak.

Ini disuarakan oleh Pengerusinya, Temenggung Vincent Lau pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ke-14 persekutuan itu di sini semalam dengan berkata, langkah kerajaan dalam memberikan perhatian kepada pendidikan Cina di negeri ini adalah tepat pada masanya.

“Kami juga mengucapkan berbanyak terima kasih kepada bekas Ketua Menteri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang sebelum ini telah memberi tanah seluas 2,000 hektar tanah menyokong pembangunan pendidikan Cina.

“Ini diikuti oleh pemberian geran berjumlah RM3 juta tahun lalu daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Haji Adenan bin Haji Satem dan tahun ini kita menerima RM4 juta lagi. Kami sangat berterima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan pemimpin BN Sarawak,” katanya.

Vincent Lau juga turut memuji usaha Adenan yang mempertimbangkan dalam memberi geran tersebut pada setiap tahun.

Beliau berkata, sikap penyayang yang ditunjukkan kerajaan Negeri Sarawak kepada pendidikan Cina menerima pujian daripada orang ramai seluruh negara.

Sememangnya usaha untuk membangunkan pendidikan Cina mengalami masa sukar apabila ia turut dipolitikan oleh pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan untuk meraih sokongan.

“Pembangunan pendidikan Cina melalui masa sukar pada suatu masa dahulu tetapi dengan kerjasama yang ditunjukkan kerajaan negeri, persatuan serta pelbagai organisasi di Sarawak ia menjadi lebih baik,” jelasnya.

Dengan polisi penambahbaikkan yang dijalankan Adenan, ternyata ia suatu yang sangat menguntungkan masyarakat Cina.

“Beliau sangat memahami kesulitan yang dihadapi masyarakat Cina dan sanggup membantu kami membangunkan pendidikan Cina,” katanya.

Adenan juga turut menyokong ‘Unified Examination Certificate’ (UEC) pendidikan Cina tetapi beliau tidak mempunyai kuasa prerogatif menerimanya.

Katanya, kesudian Adenan membincangkan perkara ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak bersama isu-isu lain pendidikan Cina seperti pemberian geran tahunan sangat membuka peluang ke arah pendidikan yang lebih baik.

Beliau berharap walaupun UEC tidak diterima kerajaan persekutuan, kerajaan negeri boleh menjadi penerajunya.

“Kami percaya usaha berterusan semua sektor dengan kerajaan Negeri Sarawak, pembangunan pendidikan Cina akan terus meningkat. Dengan sokongan Adenan, kami berharap UEC turut diterima kerajaan suatu hari nanti,” katanya dengan nada penuh berharap.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.