27
Sel, Okt

KERAJAAN PUSAT AKAN BANTU RANCAKKAN PEMBANGUNAN LUAR BANDAR DI SARAWAK

Sarawak
Typography

BAU: Kerajaan pusat akan berusaha membantu kerajaan negeri dalam merancakkan pembangunan khususnya di kawasan luar bandar di Sarawak.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, ia adalah permintaan daripada kerajaan negeri menerusi pertemuan yang diadakan semalam.

“Kami mengadakan pertemuan dan mesyuarat yang dihadiri oleh barisan exco bagi kemajuan luar bandar dan Sarawak diwakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang selaku Menteri Pembangunan Luar Bandar.

“Dalam pertemuan dan mesyuarat ini, banyak perkara yang disuarakan khususnya di peringkat luar bandar dan apa yang dapat saya rumuskan adalah kerajaan negeri meminta supaya kawasan luar bandar ini dapat kita bantu, bangunkan dan majukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kawasan projek di Kampung Stass, Bau semalam.

Sehubungan itu, Shafie memberitahu beliau akan berusaha menyuarakan permintaan kerajaan negeri di Dewan Rakyat untuk mendapatkan peruntukan bagi memajukan kawasan luar bandar di negeri ini.

Selain itu, menurutnya kerajaan negeri juga memohon bantuan daripada kerajaan pusat untuk membangunkan dan memajukan kawasan luar bandar yang memerlukan perhatian segera.

Terdahulu, dalam ucapannya, beliau memuji kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem yang disifatkannya seorang yang tegas dalam mengurus tadbir kerajaan negeri.

“Saya amat kenal dengan beliau dan saya yakin beliau mampu membawa banyak perubahan kepada negeri Sarawak khususnya dalam membangunkan kawasan luar bandar di negeri ini,” ujarnya.

Sementara itu, menyentuh mengenai pembangunan yang diperlukan oleh penduduk di Kampung Stass Bau, beliau memberitahu bahawa keperluan terhadap kemudahan internet amat diperlukan di situ.

Justeru, beliau akan menyuarakan hasrat penduduk di kampung itu kepada kementerian berkaitan untuk tindakan segera bagi memastikan masyarakat di situ dapat menikmati kemudahan internet. –Utusan Borneo-

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.