27
Sel, Okt

PKR SARAWAK TETAP SETIA BERSAMA PAKATAN SARAWAK

Sarawak
Typography

KUCHING – Jika DAP Sarawak tetap dengan pendiriannya meninggalkan Pakatan Rakyat (PR) Sarawak, PKR Sarawak pula tetap bersama PR Sarawak.

Dengan keluarnya DAP Sarawak, PKR dan PAS sahaja yang bergabung dalam membentuk PR Sarawak dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Menurut Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian berkata PKR Sarawak tetap dengan pendiriannya menentang pelaksanaan hukum hudud di Malaysia.

“DAP Sarawak bertekad keluar PR Negeri disebabkan hukum hudud. Sebaliknya, PR Sarawak dibentuk berdasarkan dasar umum yang tidak merangkumi hukum hudud yang didukungi oleh PAS.

“Kami sudah menjelaskan pendirian kami sejak dari mula lagi,” katanya kepada wartawan semalam.

Dalam pada itu, PKR Sarawak juga bertekad untuk mendapatkan kelulusan bagi usul untuk melindungi Sarawak daripada pelaksanaan hukum hudud.

Sehubungan itu, PKR Sarawak kini bersedia untuk mengadakan kerjasama dengan mana-mana parti dengan matlamat utama membentuk perikatan alternatif yang lebih berwibawa dan lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).

“Kita bersedia untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan,” ujarnya.

Semalam, DAP Sarawak telah mengumumkan parti itu keluar PR Sarawak selepas PAS tetap dengan pendiriannya mengusulkan hudud di Kelantan dan kini berusaha untuk membawanya di Dewan Rakyat.

Daftar melalui perkhidmatan langganan e-mel percuma kami untuk menerima pemberitahuan apabila maklumat baru diperolehi.